Jangan buat fitnah: Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menafikan tohmahan dan fitnah Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai agihan cukai pelancongan didakwa diberikan kepada negeri lain kecuali Sarawak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019 bahawa perkongsian 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan akan diagihkan bermula pada tahun ini walaupun amalan tersebut tidak pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

“Ini mencerminkan sikap baharu Kerajaan Persekutuan menghormati negeri-negeri. Perakaunan hasil cukai pelancongan untuk tahun 2018 akan dimuktamadkan tidak lama lagi dan atas ihsan Kerajaan Persekutuan, agihan 50 peratus hasil cukai pelancongan akan dibuat untuk semua Kerajaan Negeri dalam suku pertama tahun 2019.

“Adalah wajar Kerajaan Negeri Sarawak tidak membuat fitnah mengenai agihan RM2.7 juta cukai pelancongan memandangkan, setakat 30 November 2018, Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang lebih daripada RM2.5 bilion kepada Kerajaan Persekutuan dengan tunggakan hutang hampir RM50 juta,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Guan Eng berkata demikian sebagai mengulas tuduhan tidak berasas beberapa pemimpin-pemimpin utama kerajaan Negeri Sarawak bertujuan untuk menimbulkan kemarahan rakyat Sarawak.

Pada 3 Januari lalu, Abdul Karim mendakwa negeri-negeri lain termasuk Sabah sudah menerima agihan cukai pelancongan tersebut dan memberitahu bahawa agihan tersebut merupakan hak negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan harus membayarnya.

Bagaimanapun, Guan Eng menjelaskan, Kerajaan Persekutuan tidak memihak terhadap mana-mana negeri dengan mengagihkan cukai pelancongan kepada negeri tertentu tetapi pada masa yang sama tidak memberinya kepada Negeri Sarawak.

“Setakat ini, tiada agihan cukai pelancongan pernah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri. Kedua, cukai pelancongan dari segi undang-undang merupakan hasil Kerajaan Persekutuan dan tidak timbul hak untuk mana-mana negeri untuk menerimanya,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan: