Penilaian risiko 15 kawasan lemas

Kok Seong merasmikan Kempen Keselamatan Kesedaran Di Air di Seremban.
Kok Seong merasmikan Kempen Keselamatan Kesedaran Di Air di Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menjalankan penilaian risiko di 15 kawasan panas sering berlaku kejadian lemas di seluruh negara.

Ketua Cawangan Program Keselamatan dan Kesedaran Awam, Bahagian Keselamatan dan Kebakaran JBPM, Nik Zulkifli Ibrahim berkata, penilaian tersebut meliputi kawasan pantai, air terjun, tasik dan lombong.

Katanya, sebuah lombong di Puchong yang mengorbankan enam anggota bomba semasa melakukan kerja-kerja menyelamat tahun lalu turut diberi perhatian bagi memastikan ia tidak berulang.

"Penilaian penting bagi membolehkan pihak bomba mengeluarkan amaran keselamatan sekali gus memasang papan tanda keselamatan kedua yang lebih terperinci untuk pemahaman orang awam mengenai bahaya di sesuatu kawasan.

"Pihak bomba sedang menjalankan penilaian risiko di 15 kawasan air di seluruh negara antara di Kelantan Terenganu, Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan Sabah yang dikenal pasti berbahaya serta boleh meragut nyawa.

"Hasil penilaian nanti pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memasang papan tanda kedua yang memaparkan dengan jelas butiran bahaya dan risiko di sesuatu kawasan bermula awal tahun hadapan," katanya di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air 2019.

Hadir sama, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, papan tanda utama yang sedia ada hanya memberikan maklumat secara am sahaja tanpa memaklumkan jenis bahaya dan risiko yang ada di sesuatu kawasan itu.

"Ada kawasan yang bahaya misalnya, kes fenomena kepala air, ada yang bahaya dari segi pusaran di dasar dan bahaya dari segi kecerunan, maklumat ini akan dimasukkan di dalam papan tanda kedua itu, bagi membolehkan orang awam tahu bahaya apa yang ada di situ," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah kematian lemas di Malaysia pada tahun ini dilaporkan menurun sehingga 30 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, pada tahun ini hanya empat kematian lemas sahaja berlaku di Negeri Sembilan sehingga Oktober lalu berbanding 10 kes pada tahun 2018.

Sementara itu, Kok Seong berkata, kawasan rekreasi Air Terjun Ulu Bendul, Kuala Pilah dikenal pasti sebagai antara kawasan berisiko di Negeri Sembilan.

Katanya, kerajaan Negeri Sembilan melalui jabatan berkaitan sudah mengambil langkah berjaga-jaga agar orang awam sentiasa berwaspada dengan kejadian yang tidak diingini seperti kepala air.