Pembaiki bot raih puluhan ribu ringgit pada musim tengkujuh

Ismail Hussin, 50, menunjukkan sebahagian bot nelayan yang akan dibaiki ketika ditemui di Teluk Buaya, Pantai Mek Mas hari ini.--Foto Bernama
Ismail Hussin, 50, menunjukkan sebahagian bot nelayan yang akan dibaiki ketika ditemui di Teluk Buaya, Pantai Mek Mas hari ini.--Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kebanyakan nelayan mungkin bingung kerana hilang punca pendapatan sepanjang musim tengkujuh namun bagi segelintir daripada mereka pula mendapat ‘rahmat’ kerana kepandaian membaiki bot yang rosak.

Perubahan Monsun Timur Laut yang menyebabkan hujan dan laut bergelora memberi rezeki lumayan kepada Ismail Hussin, 50, yang mengambil upah membaiki bot nelayan sejak lebih 30 tahun lepas selepas mewarisi pekerjaan itu daripada arwah ayahnya, Hussin Yaacob.

Bapa kepada enam anak itu berkata, kebiasaannya nelayan akan mengambil peluang menghantar bot mereka yang mengalami kerosakan untuk dibaiki pada musim ini memandangkan mereka sudah tidak turun ke laut sepanjang tempoh itu kerana khuatir dengan ombak besar.

“Saya mengenakan kadar upah antara RM10,000 dan boleh mencecah sehingga RM70,000 bergantung kepada kerosakan dan saya membaiki bot jenis A, B dan C,” katanya ketika ditemui pemberita di Teluk Buaya, Pantai Mek Mas di sini.

Ismail yang turut dibantu oleh dua pekerjanya berkata, untuk membaiki sesebuah bot ia memerlukan kemahiran dan ketelitian yang tinggi dan bukannya satu pekerjaan yang mudah.

Katanya, antara jenis kerosakan yang berlaku kepada bot ialah lantai reput, dinding bot yang pecah kerana dihempas ombak selain membina anak rumah (dek) yang baharu.

“Sepanjang musim ini saya hanya mampu membaiki kira-kira dua buah bot sahaja kerana sebuah bot mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan setengah bergantung kepada kerosakan yang dialami,” katanya.

Ismail berkata, bagi membaiki kerosakan bot beliau biasanya akan menggunakan kayu jenis cengal dan seraya hitam berkualiti tinggi yang diperoleh daripada pembekal kayu di kawasan sekitar.

Artikel Berkaitan:

“Sangat penting menggunakan kayu berkualiti tinggi bagi mengelakkan sebarang risiko dan kejadian tidak diingini kepada nelayan seperti bot pecah dilanda ombak ketika berada di laut,” katanya.

Dia turut melahirkan rasa syukur dengan kemahiran membaiki bot yang dimilikinya kerana dapat menampung perbelanjaannya sekeluarga apabila tidak dapat turun ke laut pada musim tengkujuh. - Bernama