Desak Mohd Fasiah lepas jawatan

Umno Bahagian Sabak Bernam yang mengadakan mesyuarat sebulat suara mendesak Mohd Fasiah melepaskan jawatan beliau jika benar meninggalkan Umno.
Umno Bahagian Sabak Bernam yang mengadakan mesyuarat sebulat suara mendesak Mohd Fasiah melepaskan jawatan beliau jika benar meninggalkan Umno.
A
A
A

SABAK BERNAM - Umno Bahagian Sabak Bernam mendesak Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh mengosongkan kerusi dimenangi beliau atas tiket Umno pada PRU14 lalu.

Wakil Jurucakapnya, Sallehuddin Mohd Iskan berkata, jika Mohd Fasiah meninggalkan parti itu, beliau seharusnya memberi laluan kepada PRK Parlimen Sabak Bernam.

Menurutnya, peletakan jawatan beliau itu bagi membolehkan pengundi di Parlimen itu memilih wakil rakyat mereka yang benar-benar mahu berkhidmat menjalankan tanggungjawab.

"Beliau menang atas tiket Umno dan kami menggesa agar kerusi Parlimen Sabak Bernam ini dikosongkan untuk beri laluan kepada pemimpin lain yang dipilih rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Umno Bahagian Sabak Bernam dan ketua Umno Cawangan itu di Bangunan Umno Bahagian Sabak Bernam, di sini.

Sallehuddin berkata, Umno Bahagian itu sehingga kini masih belum menerima sebarang penjelasan daripada Mohd Fasiah sama ada meninggalkan Umno atau sekadar 'khabar angin'.

Katanya, Mohd Fasiah harus membuat kenyataan di media untuk menyatakan pendirian beliau terhadap surat peletakan jawatan yang diarahkan daripada Setiausaha Agong Umno, Tan Sri Annuar Musa, 14 Disember lalu.

"Sehingga kini tiada sebarang penjelasan beliau kepada parti dan pengundi di Parlimen Sabak Bernam sama ada berita tersebut benar atau tidak dan mengapa beliau keluar parti.

Artikel Berkaitan:

"Hanya dengan penafian ini sahaja dapat meyakinkan kepimpinan dan ahli Umno serta pengundi bahawa sebenarnya beliau dianiaya pihak tertentu yang menjadi dalang membuat surat makluman keluar parti dan penularannya," katanya.

Tegasnya, Mohd Fasiah diberi tempoh seminggu untuk menyatakan pendirian beliau di media berhubung perkara berkenaan.

"Sekiranya tiada penjelasan, ini bermakna beliau sememangnya telah meletak jawatan dan keluar parti.

"Keputusan ini dibuat setelah memikirkan langkah terbaik yang wajib diputuskan bagi memastikan keampuhan Umno Bahagian ini dapat dipertahan dan diperkukuhkan lagi setelah BN mengalami kekalahan akibat tsunami rakyat pada PRU14 lalu,” katanya.

Tambahnya, keputusan sebulat suara ini dibuat untuk memberi peluang dan keadilan supaya rakyat mengetahui perkara sebenar sama ada Mohd Fasiah keluar Umno atau masih setia dengan parti ini.

Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapatkan Mohd Fasiah untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu terbabit gagal.

Bagaimanapun, Umno mengesahkan enam ahli Parlimennya keluar parti berdasarkan surat makluman mengenai perkara itu yang dihantar ke ibu pejabat di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, 14 Disember lalu.

Annuar mengakui menerima satu surat makluman yang ditandatangan kesemua mereka yang terlibat.

Selain Mohd Fasiah, mereka yang keluar parti ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut) dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz.