Pemimpin UMNO terlibat pakatan sulit dianggap pengkhianat: Jamal

JAMAL
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Ahli Parlimen UMNO didakwa bersekongkol melakukan pakatan sulit bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) menerusi pertemuan di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malam tadi disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepercayaan terhadap akar umbi UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, Ahli Parlimen parti itu mesti menunjukkan prinsip sebagai Ahli Parlimen bermaruah meskipun parti itu mempunyai hanya satu kerusi di Parlimen.

"Jangan gunakan apa jua alasan untuk menghalalkan persekutuan dengan PH dengan menjatuhkan dan mempertahankan kepimpinan melalui jalan belakang.

"Moga kepimpinan UMNO memahami denyut nadi rakyat serta akar umbi UMNO dan bukan sekadar menyelamat tembolok kepimpinan UMNO sendiri," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, cukuplah maruah UMNO tercalar dengan pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kepada ayahanda pemimpin UMNO, rakyat memerhati, kami yang muda ini mahu pemimpin yang bijaksana, beramanah dan bermaruah.

"Sebagai pembangkang, kita mempunyai kelebihan dalam keadaan PH porak-peranda, gunakan kelebihan tersebut agar rakyat memilih kita atas sebab prinsip, kebijaksanaan dan amanah kita," katanya.

Sinar Harian melaporkan Mohamed Azmin mengadakan pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen PH dan BN di kediaman rasminya di Presint 10 di sini malam tadi.

Antara yang hadir ialah Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin; Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid, Ahli Parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad; Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

Selain itu turut kelihatan, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman; Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jamaluddin Alias dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Terdahulu kecoh mesej disebar menerusi aplikasi WhatsApp mengenai pertemuan melibatkan Mohamed Azmin dengan beberapa Ahli Parlimen PH dan BN.

Mesej tersebut turut mendakwa berlaku pertemuan antara Mohamed Azmin dengan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut mesej tersebut pertemuan itu didakwa diadakan bagi mendapatkan sokongan Ahli parlimen terbabit untuk menggagalkan peralihan kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ARTIKEL BERKAITAN Anwar gesa Azmin hadir mesyuarat, beri penjelasan