Harimau usah dibuai mimpi indah

Pemain negara Mohamadou Sumareh meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini. - Foto Bernama
Pemain negara Mohamadou Sumareh meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

HARIMAU Malaya diingatkan kekal fokus menjelang pertemuan menentang Indonesia pada aksi kelima Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berkata, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tidak harus dibuai mimpi indah hasil kejayaan membenam Thailand 2-1 minggu lalu sehingga menjejaskan prestasi mereka ketika berdepan Sang Garuda nanti.

Sebaliknya, beliau mengingatkan skuad Harimau Malaya menampilkan rentak sama sebagaimana ketika melakar kemenangan ke atas Thailand dan Tajikistan pada aksi persahabatan sebelum ini.

“Pada perlawanan menentang Thailand tempoh hari, skuad negara menampilkan satu mutu permainan menakjubkan. Walaupun ketinggalan gol awal Thailand, pemain negara berjaya bangkit sehingga akhirnya meraih kemenangan.

“Jadi pada perlawanan menentang Indonesia nanti, pemain negara diingatkan agar tidak mementingkan diri sendiri tetapi bermain sebagai satu pasukan. Dengan cara itu, skuad negara mampu mencipta lebih banyak jaringan gol,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Irfan Bakti, Indonesia juga sudah pasti berazam tampil dengan misi membalas dendam ke atas Harimau Malaya selepas kecundang 2-3 di Stadium Utama, Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September lalu.

Artikel Berkaitan: