KESMA yakin kemampuan Raja Azmi terajui MAHB

Raja Azmi Raja Nazuddin
Raja Azmi Raja Nazuddin
A
A
A

SEPANG - Union Malaysia Airports (KESMA) meletakkan sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin untuk menerajui syarikat tersebut.

Presiden KESMA, Hussin Shahar berkata, pihaknya gembira dengan kehadiran Raja Azmi dan akan memberikan sepenuh sokongan bagi membolehkan beliau membawa MAHB ke tahap yang lebih baik terutama melibatkan kebajikan kakitangan.

"Kami harap kerjasama erat dan gembelingan tenaga dari Raja Azmi selaku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat dan Lembaga Pengarah bersama KESMA dapat merealisasikan kejayaan lebih cemerlang MAHB pada masa hadapan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pada 4 Januari lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan pelantikan Raja Azmi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan itu dibuat selepas mendapat kelulusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Raja Azmi sebelum ini telah memangku jawatan tersebut selama enam bulan iaitu bermula 23 Jun tahun lalu.

Raja Azmi menyertai MAHB sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada 1 Februari 2016 dan selepas itu memegang jawatan selaku Pengarah Eksekutif UDA Holdings Berhad.

Raja Azmi mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang pentadbiran perniagaan dan perakaunan serta mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Bath, United Kingdom (UK).

Beliau sebelum ini juga pernah menjadi Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif di Zelan Berhad, Pengarah Kewangan Kumpulan UEM Group Berhad, dan Pengarah Eksekutif di Time Engineering Berhad selain memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan Tronoh Consolidated Malaysia Berhad.

Artikel Berkaitan: