RM1.41 juta bantu institusi pendidikan Islam

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memperuntukkan sebanyak RM1.41 juta untuk disalurkan kepada 169 institusi pendidikan Islam di negeri itu dalam usaha membantu sekolah berkaitan mentadbir dengan lebih baik.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peruntukan itu sebagai bantuan sokongan kepada sekolah agama, pusat tahfiz dan tadika Islam bagi memperkasakan aktiviti berkaitan pendidikan Islam di Negeri Sembilan.

“Ia akan diagihkan kepada mereka yang belajar di sekolah agama rakyat dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) persendirian untuk membantu meringankan beban mereka selain dapat menjalankan aktiviti bermanfaat.

“Kira-kira 14,000 pelajar akan menerima manfaat daripada peruntukan ini yang juga antara usaha membantu masyarakat Islam keluar daripada kelompok kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Perkapita dan Dermasiswa bagi institusi pendidikan Islam Negeri Sembilan 2019 di Klana Resort dekat sini semalam.

Aminuddin berkata, kerajaan Negeri Sembilan juga meminta MAINS mengkaji secara menyeluruh khususnya bagi membantu mengeluarkan masyarakat Islam daripada kelompok kemiskinan.

Katanya, pengeluar zakat di Negeri Sembilan sentiasa mengharapkan sesuatu kejayaan dalam memastikan masyarakat Islam yang dibantu itu boleh keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Ini termasuk mengemukakan inovasi baharu, penyaluran bantuan lebih teratur dan memastikan pihak penerima dapat meraih manfaat sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak mahu bantuan sebegini disalurkan menggunakan cara lama yang konvensional, sebaliknya menggunakan pendekatan moden supaya penyampaian lebih baik,” katanya.

Aminuddin berkata, kadar kemiskinan sebanyak RM750 itu dianggap masih berada di takuk lama dan sudah terkebelakang.

“Sepatutnya kita harus berani menerima hakikat kemiskinan itu pada kadar berapa, ini harus kita tangani. Kerajaan Negeri Sembilan juga sedang memikirkan sesuatu bagaimanapun kita masih terikat dengan kadar Persekutuan yang masih menggunakan RM750,” katanya.