PH cipta sejarah baharu PRK negara: Khir Toyo

Laporan Sinar Harian 16 November lalu. Gambar kanan: Khir Toyo
Laporan Sinar Harian 16 November lalu. Gambar kanan: Khir Toyo
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) catat sejarah baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) negara apabila menjadi kerajaan pertama memperoleh majoriti kekalahan paling besar di Tanjung Piai Sabtu lalu.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, keputusan itu adalah tanda amarah rakyat terhadap kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang diterjemah menerusi peti undi.

"Ia isyarat jelas rakyat sudah meluat dengan kerajaan PH. Pembentangan bajet yang disimpulkan terbaik oleh pakar ekonomi tidak diterima oleh rakyat. Jelas apa yg disebut dalam bajet tidak sama dengan apa dirasai rakyat.

"Kerajaan merasakan rakyat menikmati kehidupan yang selesa tetapi realitinya rakyat di bawah menderita dengan kenaikan kos hidup yang tinggi berbanding pendapatan yang masih ditakuk lama," katanya hari ini.

Menurutnya, keadaan dijangka bertambah parah selepas subsidi RON95 ditarik balik menjelang tahun depan yang bakal memberikan kesan kepada harga barangan runcit.

"Sudahlah Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional wajib bayar, jumlah pinjaman baru dikurangkan dan lebih parah kadar yuran belajar meningkat.

"Itu antara contoh jelas rakyat bukan saja ditipu tetapi dibebani dengan perkara yang tak pernah mereka fikir dilakukan oleh kerajaan yang slogannnya membela rakyat," katanya.

Beliau yakin Dr Mahathir tidak mampu melakukan kejutan dalam memulihkan keadaan disebabkan halangan politik.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak nampak Dr Mahathir boleh melakukan kejutan untuk memulihkan keadaan kerana beliau bukannya seorang nakhoda kapal PH hakikatnya beliau hanyalah seorang jurumudi yang menerima arahan dari empat nakhoda presiden parti dalam PH.

"Empat nakhoda dengan seorang jurumudi itulah kerajaan PH hari ini. Tak mungkin jurumudi mampu lakukan suatu pembaikan selagi ia mesti terima arahan dari nakhoda yang berbeza kehendak dan tujuannya," katanya.

PRK Tanjung Piai Sabtu lalu menyaksikan kemenangan besar calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti 15,086 undi menewaskan calon PH, Karmaine Saidini yang memperoleh 10,380 undi serta empat calon lain.