Remaja panjat bumbung lari dari polis

Suspek dan bapanya ditahan dalam serbuan di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Paya Berenjut di sini semalam. - Foto PDRM
Suspek dan bapanya ditahan dalam serbuan di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Paya Berenjut di sini semalam. - Foto PDRM
A
A
A

KEMAMAN - Cubaan seorang remaja lelaki untuk melarikan diri melalui bumbung selepas rumahnya diserbu polis gagal apabila dia terjatuh di dalam sebuah bilik di rumah jirannya di Kampung Paya Berenjut, Chukai di sini semalam.

Remaja berusia 17 tahun itu ditahan di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Paya Berenjut, di sini kira-kira jam 11.30 malam.

Turut ditahan bapa suspek berusia 55 tahun kerana cuba melindungi anaknya selepas enggan memberi kerjasama ketika rumahnya diserbu untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, serbuan dilakukan selepas remaja berkenaan disyaki terlibat dalam kes curi membabitkan kehilangan beg pemilik kedai makan kira-kira jam 6.40 pagi semalam.

Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek disyaki mencuri beg silang yang diletakkan di atas kaunter hadapan yang mengandungi wang tunai RM750, kad bank dan dokumen penting milik mangsa.

"Suspek yang menyedari kehadiran polis ke rumahnya terus melarikan diri menerusi bumbung rumah.

"Bagaimanapun dia terjatuh di atas katil di dalam rumah jirannya selepas bumbung tersebut pecah sebelum ditangkap," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hanyan berkata, hasil penahanan suspek, beberapa barang disyaki hasil curi dirampas termasuk tiga telefon pintar; dompet; beg silang; wang tunai sebanyak RM500; kad bank; dokumen peribadi milik mangsa dan motosikal disyaki digunakan ketika kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua beranak itu kini direman untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kejadian itu juga mengakibatkan bumbung beberapa rumah di sekitar kawasan terbabit rosak teruk.