'Henti tuding kesalahan, pertikai sesama sendiri'

Mohamed Azmin - Foto fail Bernama
Mohamed Azmin - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kepimpinan dan ahli Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti menuding antara satu sama lain termasuk mempertikaikan pimpinan gabungan parti, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin berkata, serangan terhadap mana-mana pemimpin hanya akan terus melemahkan PH dan keberkesanan untuk mentadbir serta mengurus negara.

Menurutnya, saat ini adalah untuk PH bersama-sama menyatukan tenaga dan menghadapi kenyataan secara kolektif.

Beliau berkata, keputusan itu merupakan satu cabaran kepada setiap anggota dan barisan pimpinan PH untuk membuktikan bahawa mereka mampu meneruskan kerjasama dan mengharungi cabaran sebagai satu pasukan.

"Kita perlu membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan komited kepada mandat yang diberikan oleh rakyat dan akan secara konsisten membela nasib dan memperjuangkan kepentingan mereka supaya keyakinan mereka dapat dikembalikan semula.

"Kekalahan memberikan kita lebih banyak pengajaran daripada kemenangan. Marilah kita bersikap tawadhu’ dan mengambil iktibar daripada kekalahan serta menggilap azam baru agar kekuatan gabungan terus diperkukuhkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pelbagai reaksi serta kenyataan yang timbul selepas PH mengalami kekalahan teruk akibat ditewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada PRK Tanjung Piai Sabtu lalu dengan majoriti 15,086 undi.

PRK Tanjung Piai menyaksikan Jeck Seng merampas kembali kerusi parlimen itu dengan memperoleh sebanyak 25,466 undi mengatasi pencabar terdekatnya iaitu calon PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kalah PRK, kerajaan tak perlu berundur: Anwar

PH buat 'post-mortem' kenal pasti punca kalah


Empat lagi calon yang bertanding iaitu Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) hanya memperolehi 1,707 undi, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia) dengan 850 undi serta dua calon Bebas masing-masing Dr Ang Chuan Lok (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghafar (32 undi).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, bagaimanapun semua anggota dan pimpinan PH perlu insaf bahawa apa yang dirasakan terbaik oleh parti untuk rakyat kadang-kadang tidak sekata dengan aspirasi mereka.

"Kita perlu merasai denyut nadi rakyat serta mendengar keluhan dan rintihan mereka.

"Kerajaan PH perlu bertindak dan mengambil langkah-langkah yang bertepatan dengan realiti semasa demi mengukuhkan kebajikan sosio-ekonomi rakyat, baik di bandar mahupun luar bandar, generasi muda, wanita mahupun golongan minoriti," katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sama kerajaan PH juga akur dengan keperluan komunikasi yang berkesan dan jitu (coherent) untuk menangani persepsi negatif terhadap kerajaan dan PH.

Menurutnya, naratif baharu yang berkesan, jitu serta persuasif perlu dibangunkan.

"Kepada rakyat Tanjung Piai, kami mendengar suara anda dan bertekad untuk melipatgandakan usaha bagi memenangi kepercayaan rakyat.

"Saya juga menyeru agar setiap anggota dan pimpinan PH untuk terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Pengerusi PH untuk terus memimpin negara dan gabungan parti," katanya.

Mohamed Azmin turut menzahirkan terima kasih kepada semua pegawai, anggota dan kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), polis dan anggota keselamatan kerana memastikan proses demokrasi berjalan lancar dan aman sepanjang PRK Tanjung Piai termasuk semua pemimpin dan penyokong PH yang bekerja keras sepanjang tempoh tersebut.