Kalah PRK, kerajaan tak perlu berundur: Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak perlu berundur biarpun sudah menerima tiga kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sebaliknya Pakatan Harapan (PH) perlu mempunyai beberapa tindakan yang lebih berkesan bagi memulihkan keyakinan rakyat.

Menurutnya, PH menerima kekalahan yang mengejutkan dalam PRK tersebut.

"Tetapi kekalahan satu atau dua tiga kerusi, tidak menyebabkan kerajaan harus undur.

"Kerajaan adalah mandat untuk terus berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan pihak tertentu yang meminta kerajaan membubarkan Parlimen semata-mata kerana tidak mendapat kepercayaan rakyat.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, kerajaan perlu memahami kekecewaan sebenar rakyat yang menyampaikan mesej supaya kerajaan mengambil tindakan lanjut.

"Kalau kita tak belajar dan tak tahu lagi, maknanya kita tidak lagi layak memerintah.

Artikel Berkaitan:

"Kita dah dapat maklumat dan kita sepatutnya hanya menunggu masa untuk mengambil tindakan yang bijaksana untuk memulihkan keyakinan.

"Pemimpin-pemimpin perlu bekerja kuat dan belajar daripada bantahan rakyat di Tanjung Piai," katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga tidak mahu mengulas mengenai dakwaan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang mengatakan beliau sebagai presiden parti ada kuasa 'berbuat apa sahaja' berhubung pengguguran Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali daripada merasmikan kongres tahunan bagi sayap pemuda parti.

"Saya nak tumpu masalah rakyat. Jangan sibuk politik picisan," katanya.