Lebih 5,000 gelandangan Anjung Singgah dapat kerja: TPM

Wan Azizah (tengah) bersama penderma pada Majlis Pelancaran Bantuan Metro Prihatin di Balai Berita Bangsar di sini hari ini.
Wan Azizah (tengah) bersama penderma pada Majlis Pelancaran Bantuan Metro Prihatin di Balai Berita Bangsar di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sehingga Oktober tahun ini, sejumlah 5,544 daripada 7,520 atau 73.7 peratus penghuni mendaftar masuk ke Anjung Singgah di seluruh negara berjaya dibantu melalui program padanan kerjaya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, Anjung Singgah ditubuhkan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) membuka lima Anjung Singgah yang berfungsi sebagai pusat khidmat sosial bagi menangani masalah isu gelandangan.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) juga boleh melaksanakan inisiatif sebegini yang menumpukan kepada usaha menyediakan khidmat advokasi.

"Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah, saya ingin menyeru setiap daripada mereka yang menerima bantuan supaya sentiasa berusaha untuk mencari jalan bagi mengeluarkan diri daripada kelompok kemiskinan.

"Sama ada dengan menyertai inisiatif disediakan pihak kerajaan, NGO atau swasta, khususnya yang berkaitan dengan peluang pendidikan, peningkatan kemahiran diri, kemahiran keusahawanan dan bersesuaian," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bantuan Metro Prihatin di Lobi Anjung Riong, Balai Berita Bangsar di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid serta Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Tan Sri Datuk Seri Utama Ismail Omar.

Wan Azizah berkata, kerajaan sentiasa menyediakan bantuan kepada golongan benar-benar memerlukan dan tidak berupaya seperti orang kurang upaya (OKU) terlantar, warga emas mempunyai masalah kesihatan dan lain-lain bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, di bawah Teras Ketiga Belanjawan iaitu mewujudkan masyarakat yang bersatu, inklusif dan saksama antaranya subsidi dan bantuan sosial akan ditingkatkan daripada RM22.3 bilion untuk tahun 2019 kepada RM24.2 bilion termasuk bantuan kebajikan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan subsidi berkaitan dengan pertanian, bahan api dan kadar faedah.

"Kerajaan juga meneruskan peruntukan di bawah Perusahaan Sosial dan Pembangunan Komuniti yang mensasarkan warga emas di bawah garis kemiskinan, OKU, pusat jagaan kanak-kanak, penerima program Food Bank, program pemulihan dadah dan juga gelandangan.

"Bagi menggalakkan sektor swasta menderma untuk meningkatkan tanggungjawab sosial, berkuatkuasa 5 September lalu kerajaan telah meningkatkan nilai ambang pelaporan derma dari RM5,000 kepada RM10,000 di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Mulai tahun 2020, amaun ini akan dinaikkan kepada RM20,000," katanya.