X

Kindly register in order to view this article
!

GPS tak bercadang timbang semula sertai BN

Abdul Karim Rahman Hamzah
A
A

KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak bercadang mempertimbangkan semula untuk kembali menyertai Barisan Nasional (BN), walaupun parti itu berjaya menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, semalam.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB,) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau secara peribadi melihat ada hikmahnya PBB dan tiga parti Sarawak lain keluar daripada BN dan bergerak menubuhkan GPS selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

"Ketika dalam sana (BN), nak berkokok pun tidak boleh, sekarang kita (PBB dan parti GPS lain) berkokok sendiri, dia orang (parti lain) terpaksa mendengar kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan acara TEDx Kenyalang 2019, di sini hari ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan selepas calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang PRK berkenaan dengan majoriti 15,086, dalam pertandingan enam penjuru.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi, manakala calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (10,380); calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam (1,707); calon Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850 undi) dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!