Kepimpinan PH perlu muhasabah kekalahan PRK Tanjung Piai

Dzulkefly bergambar bersama tetamu dan orang ramai yang hadir pada NEHA 2019 di Dewan Orang Ramai Kampung Assam Jawa, Bukit Rotan hari ini.
Dzulkefly bergambar bersama tetamu dan orang ramai yang hadir pada NEHA 2019 di Dewan Orang Ramai Kampung Assam Jawa, Bukit Rotan hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam menunjukkan isyarat pengundi yang mahu PH menunaikan janji selain memperbaiki kekurangan dalam konteks kepimpinan.

Pengarah Strategi Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kepimpinan tertinggi PH perlu bermuhasabah dan meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada rakyat.

"Kekalahan ini juga adalah peringatan dan selaku ahli Kabinet, kita sentiasa muhasabah selain menerima kritikan dan cadangan kerana kerajaan bersifat terbuka," katanya selepas merasmikan Penutup Kempen Kesedaran Kesihatan Mata Kebangsaan (NEHA) 2019 di Dewan Orang Ramai Kampung Assam Jawa, Bukit Rotan hari ini.

Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor turut mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng atas kemenangan itu.

Semalam, Jeck Seng, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya termasuk calon PH, Karmaine Sardini, yang meraih 10,380 undi.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung 21 September lalu.

Artikel Berkaitan: