Usah panjangkan isu pecat, tukar imam di Perlis

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pihak dinasihatkan agar tidak berterusan mempolemikkan isu pertukaran beberapa orang imam di masjid-masjid seluruh Perlis, baru-baru ini.

Setiausaha Bersatu Perlis, Wan Saiful Wan Jan berkata, isu berkenaan tidak harus dipanjangkan apatah lagi membawa sentimen kepartian dalam keputusan dibuat Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) itu.

Menurutnya, beliau menyambut baik titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs yang menyeru semua pihak mendokong lantikan baharu itu demi kebaikan Islam di Perlis.

“Saya yakin Raja Muda Perlis tidak mempunyai niat selain daripada melihat Islam terus berdaulat di Perlis.

“Untuk tidak mencalarkan rasa hormat dan sayang yang sekian lama tertanam dalam jiwa warga Perlis terhadap Tuanku dan institusi yang Baginda pimpin, janganlah kita panjangkan atau bawa sentimen kepartian dalam isu ini,” katanya di laman Facebook beliau.

Wan Saiful turut mencadangkan MAIPs mengumumkan tempoh masa lantikan dalam semua pelantikan yang dibuat selepas ini.

“Ini akan memastikan tiada lagi pihak yang boleh membuat tuduhan tidak berasas setelah tempoh lantikan tamat.

“Ia juga membolehkan penyambungan lantikan atau ‘succession planning’ boleh diadakan dengan teratur,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) memecat 25 imam kariah sekitar negeri itu bermula 1 Januari 2019.

Selain itu, seramai 10 lagi imam pula ditukar ke kariah lain tanpa alasan melalui surat bertarikh 31 Disember 2019.

Dalam pada itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan faktor umur, masalah disiplin dan kecenderungan berpolitik di masjid menjadi antara alasan tindakan sedemikian diambil.

Menurutnya, penamatan jawatan mereka juga bagi memberi laluan kepada golongan muda menggalas tanggungjawab itu.