Barisan muda Jerman perlu lebih pendedahan

Kroos melakukan rembatan sambil cuba dihalang pemain pelawat Stanislav Dragun pada aksi di Moenchengladbach awal pagi tadi. Foto: AFP
Kroos melakukan rembatan sambil cuba dihalang pemain pelawat Stanislav Dragun pada aksi di Moenchengladbach awal pagi tadi. Foto: AFP
A
A
A

TONGGAK Jerman, Toni Kroos menyifatkan gergasi Eropah itu belum cukup bersedia mengegarkan pentas pusingan akhir Euro 2020 biarpun membelasah Belarus 4-0 pada aksi kumpulan C Kelayakan Euro 2020 di Borussia-Park awal pagi tadi.

Menurutnya, skuad kendalian Joachim Loew yang kebanyakannya dibarisi pemain-pemain muda pada kempen kelayakan kali ini masih memerlukan pendedahan lebih kompetitif perlawanan peringkat antarabangsa.

"Secara jujurnya skuad Jerman pada kempen Euro kali ini masih terlalu muda dan kurang pengalaman biarpun kami menang besar ke atas Belarus di laman sendiri.

"Jadi saya tidak meletakkan Jerman sebagai pasukan pilihan menjuarai kejohanan pada kali ini.

"Tapi saya optimis sekiranya kami bekerja lebih keras lagi menjelang pusingan akhir kami mampu bersaing dengan gergasi besar Eropah lain seterusnya menghasilkan keputusan positif.

"Jadi untuk itu kami perlu mempersiapkan diri sebaik mungkin sebelum pertandingan sebenar bermula pada Mac depan," kata pemain berusia 29 tahun yang pernah meraih kejuaraan Piala Dunia 2016 bersama Jerman.

Untuk rekod sepanjang kejohanan berprestij negara Eropah itu, Die Mannschaft yang sudah enam kali mara ke pentas final hanya mampu mendakap trofi kejuaraan berkenaan tiga kali sahaja.

Sementara itu, pengendali Jerman, Loew berkata, skuad kendaliannya itu sudah pun mencapai sasaran ditetapkan sebelum ini iaitu layak ke pusingan akhir.

Artikel Berkaitan:

“Saya gembira apabila kami berjaya mencapai sasaran ditetapkan pada kempen kali ini tambahan pula dengan prestasi dipamerkan pemain-pemain muda Jerman.

"Biarpun secara peribadi saya tidak boleh mengharapkan kesempurnaan dalam setiap perlawanan tapi saya berpuas hati dengan komitmen diberikan setiap pemain-pemain saya," kata pengendali berusia 59 tahun itu.

Kemenangan besar ke atas Belarus di Mönchengladbach itu meletakkan tuan rumah dua mata mengatasi Belanda bagi memimpin kumpulan C.