Rangka warga emas Portugis ditemukan dalam semak

A
A

MELAKA - Rangka dipercayai lelaki warga emas Portugis yang dilaporkan hilang sejak dua minggu lepas ditemukan di kawasan semak di Taman Kampung Atap, Bandar Hilir di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, rangka disyaki milik Gregory De Roche, 85, dari Kampung Portugis itu dijumpai anggota ask Force Bandar Hilir bersama waris mangsa dan bomba kira-kira jam 3.50 petang.

“Terdapat dompet, baju dan seutas rantai perak disyaki milik mangsa berdekatan dengan tengkorak tersebut yang mana waris mangsa turut mengesahkan bahawa barangan tersebut adalah milik OH (orang hilang) yang dimaklumkan mempunyai sakit alzheimer - pelupa atau nyanyuk.

“Berdasarkan laporan OH dan harta berharga masih dalam milikan si mati, penemuan ini disyaki ada kaitan dengan kes OH yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 3 November lepas namun siasatan diteruskan bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan rangka dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk siasatan lanjut. - Bernama