Rakyat kecewa punca PH kecundang di Tanjung Piai

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (kanan) berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim malam tadi. Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir pada pukul 9.16 malam, selepas selesai proses penjumlahan undi. - Foto Bernama
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (kanan) berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim malam tadi. Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir pada pukul 9.16 malam, selepas selesai proses penjumlahan undi. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kekecewaan rakyat terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH) adalah antara kunci kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada PH.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kemenangan BN diperkukuhkan lagi dengan rasa tidak puas hati rakyat terhadap janji pilihan raya yang tidak tertunai, bahkan pemimpin PH kerap menyalahkan kerajaan terdahulu.

“Bagi pengundi majoriti Melayu di Tanjung Piai, mereka melihat ekonomi rakyat masih tidak dapat ditangani dengan baik. Kehidupan mereka tidak berubah khususnya dari segi pendapatan walaupun kerajaan sudah berubah.

“Mereka masih mahukan BN kerana BN telah lama berjasa kepada mereka. Mereka marah isu Najib, 1MDB, GST (cukai barangan dan perkhidmatan) namun kini isu tersebut sudah tiada,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tambah beliau, pengundi Cina pula memilih untuk beralih arah atas sebab sama, kecewa kerana banyak sokongan diberikan kepada PH namun isu yang mereka hadapi tidak ditangani dengan baik.

“Isu ekonomi turut jejaskan perniagaan orang Cina. Isu pendidikan juga menghadirkan kebimbangan dalam kalangan mereka dan mereka lihat Bersatu cuba kuasai PH walaupun parti kecil,” katanya.

Sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diumumkan, ada cakap-cakap mengatakan PH mampu mengekalkan kerusi tersebut, namun sebaik kempen bermula, kedengaran pula ura-ura BN bakal ‘menakluk’ Parlimen tersebut.

Selesai segalanya, calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng menang bergaya dengan memperoleh sebanyak 25,466 undi, jauh mengatasi pencabar terdekatnya, Karmaine Sardini yang hanya mendapat sebanyak 10,380 undi menyaksikan Jeck Seng menang dengan majoriti sebanyak 15,086 undi.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Terima kasih! - Jeck Seng

BN rampas semula Parlimen Tanjung Piai

Kemenangan besar itu seakan-akan memberi petanda bahawa kedudukan PH kini agak goyah dan memberi signal cukup jelas kepada kerajaan PH agar tidak memandang enteng kritikan rakyat.

Meskipun Menteri Pertahanan yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu memberitahu bahawa 52 peratus janji manifesto PH sudah ditunaikan namun ia tidak berjaya meyakinkan pengundi Tanjung Piai.

Pada masa sama, pengundi dilihat sama sekali tidak mempedulikan nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta pengundi tidak menolak calon PH kerana marahkan kerajaan.

Bagi penganalisis politik dari pada Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed, kemenangan BN membuktikan kepercayaan dan harapan rakyat terhadap kerajaan PH semakin berkurangan.

Jelasnya, walaupun terdapat beberapa pencapaian memberangsangkan dilakukan PH, namun perkara yang dibangkitkan rakyat perlu diberi perhatian.

“Kita lihat dari sudut demografi Tanjung Piai di mana penduduk Melayu terutama dalam kalangan pekebun kecil getah dan kelapa sawit serta petani.

“Antara isu yang dimainkan adalah kegagalan kerajaan untuk meningkatkan harga sawit dan getah walaupun kita tahu ia dipengaruhi harga komoditi dunia.

“Tapi apa yang disaran dan dilemparkan pekebun kecil adalah kegagalan kerajaan sehingga menyulitkan kehidupan rakyat,” katanya.

Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kaum Cina menunjukkan sokongan padu kepada PH, namun nampaknya keadaan berubah dalam PRK kali ini.

“Bila pengundi Cina beralih semula kepada BN, adakah ini satu permulaan orang cina mahu beri signal kepada kerajaan supaya tingkatkan prestasi dan kotakan janji manifesto?” soalnya.