'Disangka bangkai kerbau, rupanya mayat'

Anggota polis mengangkat mayat Mohd Faez Mohd Jefri, 28, yang dijumpai di tapak bauksit belakang petrol pam Petron Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman, hari ini- Foto Bernama
Anggota polis mengangkat mayat Mohd Faez Mohd Jefri, 28, yang dijumpai di tapak bauksit belakang petrol pam Petron Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman, hari ini- Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - "Saya ingatkan biawak sedang makan bangkai kerbau, tapi rupa-rupanya mayat," kata pesara Chan Ah Chai, 67. yang menjumpai mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang di tanah miliknya hari ini.

Ah Chai berkata, dia tiba di tanah seluas kira-kira 1.6 hektar miliknya di tepi Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman di sini sekitar jam 2 petang tadi kerana mahu memeriksa keadaan sekeliling setelah hampir dua bulan tidak berkunjung ke situ.

Tanah itu dibeli kira-kira 15 tahun lepas dan tidak mempunyai penyewa sejak dua tahun lalu selepas sebuah syarikat berkaitan perlombongan bauksit tidak melanjutkan sewaan bagi meletakkan simpanan stok di situ.

"Saya baru melepasi pagar masuk apabila melihat ada biawak di kawasan bersimen yang dibina pejabat kecil sebelum ini. Semakin saya menghampiri kawasan itu, biawak tersebut lari.

"Saya lihat mayat dalam keadaan tidak sempurna kerana tiada tangan kanan dan pergelangan tangan kiri ke bawah selain kepalanya hanya tinggal tengkorak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, rakan Ah Chai, Yunus Mohd Yasin, 64, berkata, dia tidak menghidu bau busuk walaupun datang ke situ setiap hari untuk memberi makan ayam peliharaan di reban di luar pagar selain menyiram sayur-sayuran yang ditanam di situ.

Bagaimanapun, dia yang mengusahakan kedai makan di sini mendakwa ada melihat sebuah kereta Proton Wira berwarna putih yang di laluan masuk ke tanah bersebelahan sejak Ahad lalu yang dipercayai milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Faez Mohd Jefri, 28, dari Lorong Pandan Makmur di sini, berdasarkan lesen memandu yang ditemukan dalam kereta tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik di situ dan polis juga perlu memanggil kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mematikan arus elektrik yang masih ada di situ sebelum dapat mendekati mayat mangsa," katanya.

Mohamad Noor berkata, pihaknya masih menyiasat sebab mangsa berada di situ, namun siasatan awal mengesahkan tiada unsur jenayah berlaku di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- Bernama