Protes Hong Kong: Kematian warga emas diklasifikasikan kes bunuh

Video kejadian warga emas dibaling bata tular di media sosial sejak kelmarin.
Video kejadian warga emas dibaling bata tular di media sosial sejak kelmarin.
A
A
A

HONG KONG - Polis Hong Kong mengklasifikasikan kematian seorang lelaki berusia 70 tahun yang dipukul dengan bata di bahagian kepala dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan kumpulan yang berusaha membersihkan sekatan jalan raya sebagai kes pembunuhan.

Kerajaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, insiden tersebut sangat menyayat hati dan pihak berkuasa akan berusaha untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial kelmarin, mangsa dilihat dibaling dengan bata di tengah-tengah perbalahan antara dua kumpulan berkenaan dan terus rebah.

Ketika kejadian, mangsa yang merupakan pekerja luar dari Jabatan Makanan dan Alam Sekitar sedang rehat makan tengah hari apabila pergaduhan tercetus di Sheung Shui, sebuah daerah di utara wilayah itu.

Mangsa kemudiannya dimasukkan ke Prince of Wales Hospital dan berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia.

Kematian warga emas itu adalah yang kedua dalam siri protes selepas seorang pelajar maut akibat kecederaan kepala pada 8 November lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan: