10 model Muslimah popular

DARI kiri: Halima, Neelofa dan Kadija antara model Muslimah yang mencipta nama dalam industri fesyen antarabangsa.
DARI kiri: Halima, Neelofa dan Kadija antara model Muslimah yang mencipta nama dalam industri fesyen antarabangsa.
A
A
A

SEBAHAGIAN besar pemain industri menyifatkan kemunculan Halima Aden telah membuka pintu untuk model Muslimah lain seperti Mariah, Amina dan Kadija melebarkan sayap dalam industri fesyen antarabangsa.

Bagaimanapun, baik Halima mahupun Amina masing-masing memiliki tarikan tersendiri.

Biarpun majoriti merupakan individu dalam keturunan kulit gelap dan beragama Islam, tetapi faktor tersebut bukan menghalang untuk mereka terus menerokai bidang itu.

Ikuti ceritera 10 ikon popular berhijab dalam Personaliti Femina minggu ini.

1 Halima Aden

Wanita muda berdarah Amerika-Somalia ini antara model berhijab yang sedang mencipta nama di pentas fesyen AS sejak tiga tahun lalu. Selain terkenal dengan sifat ramah dan periang, Halima berusia 22 tahun itu sering mendapat jolokan ‘individu pertama’.

Masakan tidak, beliau yang dilahirkan di kem pelarian Kakuma, Kenya sebelum berpindah ke St Cloud, Minnesota, AS bersama ibunya pada tahun 2005 merupakan peserta pertama menyertai pertandingan ratu cantik Miss Minnesota 2016 dengan imej berhijab.

Biarpun hanya layak ke peringkat separuh akhir, namun aura model setinggi 166 sentimeter itu semakin bersinar apabila dipilih menjadi wanita berhijab pertama sebagai penghias muka depan majalah British Vouge.

Portfolio model yang memiliki sepasang mata berwarna coklat gelap itu bertambah cemerlang selepas menjadi pilihan jenama antarabangsa Sports Illustrated (SI) sekitar awal tahun ini. Beliau mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi peragawati Muslim pertama menghiasi kempen pakaian mandi burkini koleksi SI yang direka untuk wanita bertudung.

Siapa sangka, individu yang sebelum ini pernah menjalani zaman kanak-kanak di kem pelarian, hari ini mengatur langkah penuh bergaya dan berani dalam industri fesyen berprestij. Pemakaian tudung ataupun turban sedikitpun tidak menghalang Halima melebarkan sayapnya sebaris dengan barisan model antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Kini penuntut Universiti St Cloud State, AS itu bernaung di bawah agensi model, IMG Models yang turut menguruskan model-model popular. Antaranya, ialah Bella Hadid, Gigi Hadid, Gisele Bunchen, Miranda Kerr, Karlie Kloss dan Kate Moss.

2 Yuna

Penyanyi Malaysia yang kini mencipta nama di peringkat antarabangsa, Yuna, telah dilamar agensi model terkenal dunia, Wilhelmina Models.

Pelantun lagu Dan Sebenarnya itu berkongsi detik istimewa berkenaan menerusi laman sosial Instagram @yuna pada 17 September lalu.

Bicara anak kelahiran Alor Setar, Kedah menerusi Instagram peribadinya: “

Hello dunia! Ingin saya kongsikan satu berita bersama anda bahawa wanita milik kamu kini telah menyertai @wilheminamodels!

“Siapa sangka...Kita berjaya lakukannya mak dan bersedia untuk berkhidmat”.

Secara ringkas, Wilhelmina Models merupakan agensi yang menawarkan perkhidmatan peragaan dan pengurusan bakat berpangkalan di New York, AS. Kendall Jenner, Janice Dickinson, Robyn Lawley, Anjelica Huston dan Rachel Trachtenburg antara barisan model popular bernaung di bawah agensi yang sama.

Pada bulan September lalu, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai turut memuat naik foto penampilan beliau menghadiri Minggu Fesyen New York 2019 (NYFW 2019). Kehadiran beliau sebagai memenuhi jemputan jenama fesyen seperti DKNY, Sally LaPointe, Jonathan Cohen dan Carolina Herrera.

YUNA
YUNA

3 Neelofa

Pada 13 Disember tahun lalu, Established Models menerusi Instagram @estmodels mengumumkan kehadiran selebriti dan usahawan terkenal Malaysia, Neelofa dalam agensi model dan bakat antarabangsa berkenaan.

"Meraikan kedatangan ratu media sosial dalam keluarga Established. Beliau @neelofa bukan sahaja menyerlah dalam media sosial, tetapi merupakan usahawan, aktres dan pengacara televisyen termasuk muncul dalam filem blockbuster, rancangan TV serta menerbitkan program sendiri.

"Adakah perkara lain yang wanita cantik Malaysia ini tidak mampu lakukan?" soal wakil Established Models yang dipetik dalam Instagram agensi terbabit.

Menariknya, pengasas tudung Naelofar itu merupakan selebriti tunggal berhijab yang menandatangani kontrak bersama Established Models.

"Saya berbangga dan teruja untuk mengumumkan bahawa kini menjadi sebahagian daripada @estmodels di London.

"Terima kasih peluang keemasan ini. Tidak sabar untuk meneroka peluang yang diberikan. Mari kita lakukannya pada tahun 2019 (tahun ini)," jelas Neelofa atau pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor menerusi Instagram.

Kata-kata Neelofa nampaknya 'berisi' apabila tahun ini jadual beliau padat dengan menghadiri Minggu Fesyen New York 2019 dan Minggu Fesyen Milan 2019 antara 4 hingga 23 September lalu.

4 Hana Tajima

Sentiasa tampil sopan dengan gaya tersendiri, Hana Tajima antara ikon fesyen berhijab antarabangsa yang popular dalam kalangan wanita Malaysia.

Mempraktikkan stail yang minimalis, bersahaja dan trendy menyebabkan pereka kelahiran British itu sentiasa menjadi rujukan golongan wanita bertudung.

Menariknya, kreativiti Hana, 31, dalam seni rekaan fesyen bukan untuk penampilan peribadi semata-mata. Sebaliknya, beliau yang kini menetap di New York, AS, menghidangkan hasil eksperimentasi buat para wanita menerusi kerjasama dengan jenama peruncit pakaian global Jepun, Uniqlo.

5 Mariah Idrissi

Empat tahun beliau merupakan wanita Muslim dan bertudung yang pertama menghiasi kempen iklan fesyen antarabangsa.

Biarpun pernah dikritik pada Minggu Fesyen London kerana disifatkan tidak memiliki kepelbagaian, Mariah, 27, tidak berputus asa.

Menurut wanita berdarah Pakistan (sebelah ibu) dan Morocco (sebelah bapa itu), beliau berharap kehadirannya sebagai model beragama Islam dan berhijab dapat memberi inspirasi, sekali gus mengubah persepsi negatif khususnya mereka yang terlibat dalam industri.

"Saya berbangga memakai tudung kerana ia adalah tuntutan agama yang wajib dituruti,” tegasnya yang pernah dipilih untuk kempen Close The Look jenama H&M tahun 2015.

Terkini, beliau juga antara wajah bagi produk kecantikan Rihanna, Fenty Beauty.

6 Kadija Diawara

Merupakan model kelahiran New York, AS yang berdarah Mali-Mesir. Kehadiran beliau dalam industri disedari selepas membuat kemunculan pertama pada Minggu Fesyen New York 2018 menggayakan busana jenama Chromatand Maki Oh.

Bagaimanapun, beliau yang diuruskan oleh Red Model Management bukan sahaja berbakat dalam dunia peragaan, tetapi turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Neurosains.

Tutur Kadija, beliau amat meminati bidang perubatan, namun fesyen tetap menjadi keutamaan dan istimewa dalam hatinya.

7 Shahirah Yusuf

"Saya bukan Kendall Jenner, tetapi gadis berkulit hitam dari timur London yang bakal menggegarkan industri model."

Tampak ringkas, namun ciapan Twitter pada November dua tahun lalu sudah cukup untuk menterjemahkan impian Shahirah dalam bidang peragaan.

SYAHIRAH
SYAHIRAH

Bagaikan mimpi menjadi kenyataan apabila bakat wanita kelahiran Inggeris- Somalia itu dikesan oleh Sarah Doukas, individu yang sama mengangkat Kate Moss.

Selain Elle, wajah Shahirah juga pernah terpampang dalam majalah Vogue Arabia, dan British Vogue.

8 Ikran Abdi Omar

Wanita berketurunan Somalia itu antara model Muslim yang pernah terlibat dalam sesi peragaan Minggu fesyen London Modest 2018.

Kemudian, beliau yang dilahirkan di Sweden muncul pula ada acara gah the Molly GoddardFW18 pada tahun sama.

Ikran yang kini menetap di Bristol telah menyertai London Booking dan tersenarai dalam Dazed 100 tahun lalu.

9 Amina Adan

Wanita berusia 22 tahun itu pernah mengejutkan rakyat Denmark apabila menjadi model hijab pertama direkrut dalam agensi Unique Models pada dua tahun lalu.

Kemunculan beliau bersama Halima untuk jenama Max Mara pada Minggu Fesyen Milan 2018 mendapat pujian. Tampil mengenakan hijab bercorak harimau bintang dan blazer rona kelabu berjaya menyerlahkan penampilan yang memukau para penonton.

"Amina memiliki kecantikan tersendiri dan potensi besar sebagai model," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Unique Models, Jacqueline Mikkelsen pada satu temu bual.

10 Ruba Zai

Pada usia 25 tahun, sosial influencer Ruba Zai berjaya mengumpul seramai 1.1 juta para pengikut dalam Instagram beliau @HijabHills.

Wanita berketuran Belanda- Afghanistan itu begitu komited menyediakan pelbagai penggayaan tudung supaya fesyen hijab diangkat dan diterima secara global.

Nampaknya, percaturan beliau membuahkan hasil apabila baru-baru ini dilamar oleh jenama mewah, Dolce & Gabbana.

Ruba menjadi sosial influencer hijab pertama menghiasi kempen iklan jenama antarabangsa berkenaan di Belanda.