Tonik terbaik menjelang aksi menentang Indonesia: Hamidin

Mohamadou Sumareh meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. - Foto: Bernama
Mohamadou Sumareh meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. - Foto: Bernama
A
A
A

KEMENANGAN 2-1 ke atas Thailand dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam tadi menjadi tonik terbaik buat pasukan Malaysia menjelang aksi menentang Indonesia pada Selasa ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berharap pemain negara akan sekali lagi menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil berdepan Indonesia nanti.

"Perlawanan malam tadi sangat penting, kita wajib menang dan Harimau Malaya berjaya mencapai misi itu demi negara. Jika sebelum ini saya akui kecewa dengan kekalahan dengan Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tetapi kali ini saya amat berpuas hati.

Sekali lagi gunakan peluang beraksi di laman sendiri menentang Indonesia nanti, buktikan sekali lagi anda pemain-pemain negara yang bagus," katanya dalam satu kenyataan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang ketinggalan selepas jaringan Chanathip Songkrasin pada minit ketujuh, mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk bangkit semula menerusi gol Brendan Gan pada minit ke-26 dan Mohamadou Sumareh pada minit ke-56, sekali gus meraih tiga mata penuh.

Hamidin turut mengucapkan tahniah kepada pengurus pasukan Datuk Yusoff Mahadi; penolong pengurus pasukan, Datuk Posa Majais; jurulatih kebangsaan Cheng Hoe bersama barisan kejurulatihannya; kapten pasukan Aidil Zafuan Abdul Radzak dan semua pemain negara.

Pada masa sama Hamidin meminta penyokong Harimau Malaya supaya menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil gegak gempita bagi memberi suntikan semangat buat pemain negara menentang pasukan dari seberang itu.

"Juga jutaan terima kasih kepada penyokong yang hadir memberi semangat kepada pasukan negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod kejayaan malam tadi merupakan kemenangan kedua Malaysia dalam kempen itu apabila memulakan kempen dengan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia sebelum tewas tipis 1-2 kepada UAE dan 0-1 kepada Vietnam.

Vietnam berada di tangga teratas Kumpulan G dengan 10 mata daripada empat perlawanan setakat ini diikuti Thailand (7), UAE (6), Malaysia (6) dan Indonesia yang gagal meraih sebarang mata. - Bernama