Rafizi dinasihat tidak menyibuk hal Pas: Khairuddin

Datuk Dr Khairuddin Aman Razali
Datuk Dr Khairuddin Aman Razali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dinasihatkan supaya ‘menjaga’ Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak ‘menyibuk’ menyerang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Nasihat itu disuarakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang menganggap Rafizi cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada pertembungan dalaman PKR dan menjadikan Abdul Hadi sebagai sasaran.

“Rafizi menyedari namanya semakin membusuk. Angan-angannya untuk melihat presiden kesayangan beliau memanjat naik kerusi PM (perdana menteri) masih berliku. Lawannya iaitu Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) semakin mencanak naik nama.

“Disebut-sebut pula sebagai bakal PM. Pertembungan dalaman PKR sudah menjadi rahsia terbuka. Bagi mengalihkan perhatian rakyat, beliau menyerang presiden Pas.

“Ia dilakukan dengan mengambil kesempatan isu Tabung Haji (TH) yang sebenarnya masih menggambarkan kekalutan kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga menasihatkan Rafizi supaya tidak lagi menjadi ‘hero’ dan jika penyelewengan TH benar-benar berlaku, beliau boleh tampil mengemukakan bukti di mahkamah.

“Bukan hanya highlight (paparkan) di media kerana terdapat pihak (BN) juga mempunyai hujah mereka. Media trial bukan penyelesaian terbaik.

“Tidak dinafikan, terdapat pelaburan TH yang rugi. Begitu juga kemungkinan wujud 'creative accounting' bagi membolehkan LTH (Lembaga Tabung Haji) membayar dividen. Cuma, terdapat beberapa keraguan yang belum dijelaskan oleh LTH,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, isu utama melibatkan LTH ialah dakwaan skandal penyelewengan sejak zaman Perdana Menteri Keempat yang masih belum diselesaikan sehingga kini termasuklah laporan polis oleh pengurusan tertinggi LTH pada 30 November lepas.

“Mengapa isu defisit RM4 bilion pula yang banyak diberikan perhatian.

“Nasihat saya kepada Rafizi, usahlah sibuk dengan Presiden Pas. Jagalah Presiden kamu baik-baik dari serangan rakan sekutu sendiri,” tegasnya.