Johor yakin sasaran RM8 bilion dicapai tahun ini

Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Johor, Mohd Iqbal Ibrahim menyampaikan cenderahati kepada Jimmy.
Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Johor, Mohd Iqbal Ibrahim menyampaikan cenderahati kepada Jimmy.
A
A
A

KULAI - Kerajaan negeri memberi keyakinan sasaran pelaburan berjumlah RM8 bilion di Johor pada tahun ini mampu dicapai apabila dua syarikat berminat melabur di Johor.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata, meskipun terdapat cabaran ekonomi global, tetapi Johor tetap menjadi salah satu lokasi tumpuan utama pelabur bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia.

"Berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), terdapat dua syarikat besar berminat melabur ke Johor. Jadi, tahun ini kita sangat positif. Menteri besar ada nyatakan sasaran RM8 bilion dan kita yakin untuk mencapainya.

“Ini berikutan pentadbiran Johor yang sangat baik selain memiliki geografi yang baik berikutan kedudukan yang berdekatan dengan Singapura, memiliki pelabuhan serta lapangan terbang antarabangsa dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Taklimat Bajet Belanjawan 2019 Peringkat Kulai di Dewan Serbaguna Taman Putri, di sini, hari ini.

Jimmy yang juga Adun Bukit Batu berkata, pelaburan sektor elektronik bakal dibawa masuk ke Johor tidak lama lagi, namun enggan mengumumkan butiran lanjut tentang pelaburan itu.

Dalam pada itu, menurutnya pelaburan di Sedenak setakat ini berjalan dengan lancar malah terdapat kumpulan pelabur dari China berminat membangunkan pusat sehenti rumah.

"Ini bermakna pembinaan rumah melibatkan lebih 200 ekar. Selain itu, kita bercadang menukar nama Kawasan Perindustrian Sedenak, namun perkara itu masih lagi peringkat perbincangan dan antara salah satu sebabnya kawasan itu sebenarnya bukan berada dalam mukim Sedenak,” katanya.

Artikel Berkaitan: