Dua kajian PRK Tanjung Piai dengan hasil berbeza

A
A

SHAH ALAM - Semalam, dua kajian yang dilakukan mengenai kecenderungan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menunjukkan hasil yang bebeza sama sekali.

Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan Pakatan Harapan (PH) mendahului Barisan Nasional (BN) lebih sembilan mata pada PRK yang hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi.

Berdasarkan kajian responden, sejumlah 53 peratus daripada 1,200 responden menyatakan mereka akan mengundi calon PH, Karmaine Sardine, manakala 44 peratus lagi memilih calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Kajian IDE tersebut turut menunjukkan baki tiga peratus akan memberikan undi mereka kepada calon Berjasa, Datuk Ir Badhrulhisham Abd Aziz; calon Gerakan, Wendy Subramaniam dan dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Difahamkan kajian itu dibuat pada 9 sehingga 11 November lalu melibatkan 1,200 pengundi berdaftar Parlimen Tanjung Piai.

Sementara itu, sumber parti mendedahkan hasil kajian mereka menunjukkan 50 peratus pengundi Melayu masih memberi undi mereka kepada BN berbanding PH yang hanya menerima sokongan 48 peratus.

Jumlah itu masih dianggap rendah berbanding pilihan raya umum (PRU) lepas apabila BN meraih 57 peratus undi Melayu dan PH hanya mendapat 32 peratus dengan Pas pula 9 peratus.

Kajian sumber parti itu juga mendapati sokongan masyarakat Cina terhadap PH tidak jatuh mendadak di bawah 50 peratus sebagaimana dakwaan sebelum ini.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), sokongan masyarakat Cina terhadap PH adalah 64 peratus, bagaimanapun kajian terbaru IDE mendapati ia jatuh sebanyak tiga peratus daripada 61 peratus.

Sementara itu, agensi perundingan, Ilham Center pula mendakwa PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan BN mampu menang dan menafikan status quo kemenangan PH dengan majoriti yang selesa.

Menurut satu analisis yang dikeluarkan semalam, PRK kesembilan ini dibayangi arus populis Melayu-Muslim dan sentimen kempen Buy Muslim First (BMF) yang kuat, namun ianya seakan terhenti apabila pembangkang BN meletakkan calon berbangsa Cina daripada MCA untuk berlawan dengan calon parti pemerintahberbangsa Melayu.

Jelasnya, PH pula kelihatan bergelut untuk menambah undi Melayu di samping mengekalkan undi Cina meskipun tampil dengan kelebihan sebagai parti pemerintah menguasai kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Bagi BN, PRK amat penting menentukan arah tuju Muafakat Nasional di samping berusaha bagi mendapatkan kembali keyakinan pengundi bukan Melayu.

Agensi itu mendedahkan hasil kajian yang dilakukan secara bersemuka itu yang diadakan pada 9 sehingga 11 November lalu dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata di lapangan melibatkan 394 responden yang juga merupakan pengundi berdaftar Tanjung Piai melibatkan semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti.

"Pengundi yang memberi undi kepada Pas pada pilihan raya lepas pula tidak kekok untuk memberi undi kepada BN semasa hari pembuangan undi dengan peratusan sebanyak 82 peratus. Jelas sekali bagi pengikut Pas mereka akur dengan arahan parti dan kepimpinan tertinggi agar memenangkan calon BN sebagaimana dibuktikan siri pilihan raya kecil di Cameron Highlands, Port Dickson, Semenyih dan Rantau," katanya.

Disebalik anggapan banyak pihak bahawa pemilihan calon berbangsa Cina dari MCA sebagai calon BN akan memberi kelebihan kepada PH yang menampilkan calon Melayu, ternyata pemilihan Datuk Seri Wee Jeck Seng adalah tepat.

Selain itu, dari sudut struktur jentera pilihan raya, PH lebih tersusun berbanding siri pilihan raya kecil sebelum ini. Bagaimanapun, jentera PH nampaknya gagal mengambil teladan daripada siri pilihan raya sebelum ini kerana jentera PH masih mengamalkan berkempen secara ‘silo’.

Di media sosial pula, ternyata jentera BN menguasai dan mendominasi medium ini berbanding jentera PH mahupun calon-calon yang lain.