'Keldai akaun' taktik sindiket jenayah siber

Fazlisyam pada Wacana Sinar Siri 140: Keselamatan Siber: Bagaimana mempertahankan diri di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, malam tadi.
Fazlisyam pada Wacana Sinar Siri 140: Keselamatan Siber: Bagaimana mempertahankan diri di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Membeli akaun bank pihak ketiga antara modus operandi sindiket jenayah siber membuatkan kegiatan jenayah tersebut terus menjadi ancaman di negara ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, kaedah itu mewujudkan fenomena 'keldai akaun' membolehkan ia menjadi tempat pemindahan wang diberikan mangsa.

Menurutnya, selain membeli akaun, sindiket juga bertindak menipu pemilik akaun untuk meminjam akaun sebaliknya menggunakannya untuk tujuan jenayah.

"Walaupun banyak kempen kesedaran yang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes-kes melibatkan jenayah siber ini terus berlaku disebabkan adanya akaun pihak ketiga yang telah disalah guna.

"Sehingga September tahun ini seramai 3,175 pemilik akaun yang digunakan telah ditahan dan seramai 2,296 telah dituduh di mahkamah.

"Sekiranya keldai akaun ini dapat dihapuskan, saya percaya kegiatan jenayah siber dapat diatasi," katanya pada Wacana Sinar Siri 140: Keselamatan Siber: Bagaimana mempertahankan diri di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 di sini malam tadi.

Turut menjadi panelis, Ketua Jabatan Malaysia Computer Emergency Response Team (MyCERT), CyberSercurity Malaysia, Megat Muazzam Abdul Talib dan Pengerusi Pusat Keselamatan Siber Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Siti Norul Huda Sheikh Abdullah.

Mengulas lanjut, Fazlisyam berkata, penipuan melibatkan pinjaman tidak wujud, panggilan telefon, pembelian dalam talian dan ‘love scam’ adalah empat kegiatan yang menjadi ancaman di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, masyarakat perlu lebih peka dan mempunyai kesedaran tinggi tentang modus operandi sindiket mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

"Sekiranya mangsa sedar mereka ditipu buat laporan polis segera, dari situ kita nilai sama ada ia betul penipuan atau prasangka.

"Tak jadi kesalahan jika mempunyai salah sangka dan buat laporan polis. Polis akan terima apa isu yang dilaporkan," katanya.