Harimau Malaya lebur ego Thailand

Sumareh dicabar tiga pemain Thailand pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi. FOTO: FB FAM
A
A

SKUAD Harimau Malaya melakar kejutan menewaskan gergasi Asia Tenggara, Thailand 2-1 dalam aksi keempat Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Kejayaan itu sekali gus meleburkan ego Thailand selain turut mencalarkan rekod bersih tanpa kalah skuad Gajah Perang.

Harimau Malaya bermula baik pada separuh masa pertama apabila cemerlang mengekang asakan jentera serangan Thailand selain beberapa kali mampu menghadirkan ancaman kepada benteng pertahanan Gajah Perang.

Bagaimanapun, Thailand terlebih dulu berjaya membuka tirai jaringan menerusi penyerangnya, Chanatip Songkrasin yang menyudahkan hantaran Ekanit Panya seawal minit ketujuh.

Harimau Malaya cuba bangkit mencari gol penyamaan tiga minit kemudian melalui Syafiq Ahmad, namun rembatan penyerang Johor Darul Ta'zim itu ditangkap kemas penjaga gol Thailand, Siwarak Tedsungnoen.

Gol penyamaan Harimau Malaya akhirnya tiba pada minit ke-26 apabila Brendan Gan tenang menyudahkan hantaran Mohamed Syamer Kutty Abba untuk menggamatkan stadium.

Safawi Rasid hampir menambah gol kedua pada penghujung babak pertama perlawanan, namun percubaannya sedikit melewati palang gol Thailand.

Bersambung babak kedua, Harimau Malaya terus garang menerusi percubaan pertahanan kanan, Muhammad Syahmi Safari dari luar kotak penalti yang terus ke dakapan Siwarak.

Mohamadou Sumareh muncul wira Harimau Malaya apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-57 selepas bijak menyambar hantaran lambung Brendan.

Harimau Malaya hampir menjaringkan gol ketiga menerusi Safawi pada minit ke-73 melalui satu serangan balas pantas, namun percubaannya sekali lagi ditepis Siwarak.

Thailand cuba mengasak kubu Harimau Malaya dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan menerusi beberapa percubaan berbahaya, namun benteng yang dikemudi kapten, Mohamad Aidil Zafuan dan Shahrul Mohd Saad kental bertahan sehingga wisel penamat ditiup pengadil, Ali Sabah Al-qasyi.