Reman tiga pelajar tahfiz dilanjutkan hingga 20 November

Laporan muka depan Sinar Harian sebelum ini.
A
A

TEMERLOH - Tempoh reman tiga pelajar pusat tahfiz di Kuala Kaung, Lanchang yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, dilanjutkan sehingga 20 November ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Temerloh, Hayatul Hafifie Hisham pada prosiding yang berlangsung hari ini.

Sebelum ini, tempoh permohonan reman terhadap tiga remaja berusia 13 tahun itu pada 8 November lalu dijadualkan tamat hari ini.

Pada 8 November lepas, media melaporkan Mohammad Aimin meninggal dunia sekitar 1.20 tengah hari di Klinik Kesihatan Lanchang, kira-kira setengah jam selepas ditemukan dalam keadaan lemah oleh warden pusat tahfiz terbabit.

Hasil bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat trauma pada dada dan abdomen oleh permukaan atau objek tumpul.

Susulan itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan mengesahkan tiga pelajar pusat tahfiz itu ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai bergaduh dengan mangsa ekoran cemburu dengan perhatian diterima mangsa selaku pelajar paling muda di situ yang dihantar ke pusat berkenaan pada pertengahan Oktober lalu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid tahfiz mati dipercayai dipukul

'Tengkuk, kaki dia sejuk'

'Tiada kesan lebam ditemui ketika dia pulang bercuti'

Siak dengar suara kanak-kanak menangis

Kawan-kawan cemburu rupanya...