Jualan amal bantu remaja istimewa di FestKon

Penuntut UniMAP menjayakan acara senamrobik sempena FestKon ke-14 universiti itu di Arau semalam.
A
A

ARAU - Hari pertama Festival Konvokesyen (FestKon) ke-14 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disambut meriah dengan pelbagai gerai jualan dibuka untuk pengunjung yang mula beroperasi jam 11 pagi semalam.

Pengarah FestKon, Nazifa Nordin berkata, selain gerai jualan, terdapat juga reruai untuk jualan amal bagi mengumpul dana Persatuan Sokongan Ibu Bapa Remaja Istimewa Perlis (PSRIP).

“Pihak kami berharap pengunjung yang datang ke tapak FestKon turut berkunjung ke reruai jualan amal berkenaan.

“Kami mengadakan jualan pakaian bayi, kanak-kanak dan permainan dengan harga serendah RM1,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Nazifa berkata, golongan remaja istimewa perlu diberi perhatian bagi memastikan segala keperluan mereka dapat dipenuhi.

“Kita tidak mahu golongan berkenaan rasa tersisih dengan kekurangan diri yang mereka miliki, jadi dengan dana yang kita kumpul ini insya-ALLAH akan dapat memberi sedikit sinar kegembiraan buat mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi memeriahkan suasana, acara senamrobik pada waktu pagi dengan kerjasama seluruh penuntut UniMAP turut diadakan.

“Mereka berkumpul di tapak FestKon seawal jam 8 pagi lagi untuk menyertai acara senamrobik tersebut,” katanya.