NGO pertikai tindakan kerajaan terhadap orang asli Batek

Penduduk orang asli suku Batek di Gua Musang.
Penduduk orang asli suku Batek di Gua Musang.
A
A
A

GUA MUSANG - Badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Jariah Malaysia (SJM) mempertikaikan tindakan kerajaan dalam menyalurkan pampasan bencana kepada orang asli suku Batek di Kampung Kuala Koh.

Presidennya, Johan Halid berkata, majlis penyerahan Wang Ehsan Bencana kepada 65 penduduk Kuala Koh, Aring dan Pasir Linggi dijadualkan berlangsung pada 3 November lalu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail namun ia ditunda ke 10 November lalu.

Kata Johan, pihaknya turut dijemput menghadiri mesyuarat penyelarasan majlis bersama agensi-agensi terlibat di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang pada 5 November.

Johan
Johan

"Pelbagai pihak telah menyediakan barang-barang sumbangan untuk penduduk Kuala Koh yang akan diserahkan sempena majlis penyerahan Wang Ehsan Bencana itu.

"Tok batin, Mohamad Pokok, mengarahkan penduduk membersihkan kampung bagi menyambut kunjungan TPM dan pimpinan kerajaan ke Kuala Koh.

"Amat menyedihkan, program itu dibatalkan dan memindahkannya ke pusat membeli-belah AEON Mall Kota Bahru pada Jumaat, 8 November lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Johan, ia jelas menyusahkan penduduk orang asli yang terpaksa diangkut menggunakan lori dan bas dari Kuala Koh ke Kota Bharu.

"Seawal pagi Jumaat lalu, penduduk kampung diangkut dengan lori ke Bandar Chiku 03 dan dipindahkan pula dengan dua buah bas ke Kota Bharu untuk program yang bermula jam 4 petang.

"Hakikatnya, ia bukan program khas untuk penyampaian Wang Ehsan Bencana, tetapi menumpang program Kementerian Kesihatan (KKM) tanpa kehadiran TPM.

"Penerima bantuan juga tiba di Kuala Koh pada jam 1 pagi. Tiada rungutan dari orang kampung yang terpaksa menerima apa jua arahan namun besar hati rakyat jika pemimpin masuk kampung untuk serahkan sumbangan. Nampak lebih ikhlas," katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan membelanjakan RM3.3 juta bagi membantu masyarakat orang asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang terkesan dengan jangkitan demam campak baru-baru ini.