Cuti bersalin: MEF hanya setuju tiga hari

Shamsuddin Bardan
Shamsuddin Bardan
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) hanya bersetuju pemberian cuti bersalin (paternity leave) selama tiga hari berturut-turut kepada suami yang bekerja di sektor swasta bukannya tujuh hari seperti yang dicadangkan kerajaan.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat terbaru bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan pihak kerajaan pada Isnin lalu.

Menurutnya, persetujuan cuti tiga hari itu juga adalah atas prinsip kos pembiayaan cuti pekerja terlibat tidak ditanggung sepenuhnya oleh majikan.

“Sebenarnya cadangannya telah disemak semula kepada tiga hari sahaja. MEF mencadangkan bahawa kita boleh terima tiga hari tetapi kos pembiayaan suami bercuti kerana isteri bersalin itu hendaklah dibiayai bersama dan bukan oleh majikan sahaja.

“Jadi dari segi pembiayaan, kita cadangkan agar pihak majikan, pihak pekerja dan juga pihak kerajaan membuat satu dana untuk membayar imbuhan kepada suami-suami yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Shamsuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mengenai cadangan penetapan tujuh hari cuti bersalin bagi suami yang bekerja di sektor swasta akan dibentang kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pihaknya bimbang sekiranya semua kos-kos tersebut dibebankan kepada majikan dan tidak mengikut langkah yang dilaksanakan di negara-negara maju.

“Di negara-negara ASEAN sebagai contoh, banyak dana sosial digunakan untuk mengambil kira isu-isu yang sedemikian. Jadi, kerajaan boleh nyatakan bahawa bayaran berkenaan tidak dibuat oleh majikan tetapi dibuat oleh badan-badan berkaitan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Artikel Berkaitan:

“Tetapi oleh kerana kerajaan tidak memberikan sebarang peruntukan atau tidak memberikan sebarang geran kepada badan ini, bergantung kepada badan mana yang akan membayar kos berkenaan.

“Jadi kerajaan harus menyediakan geran kepada badan berkenaan dengan peruntukan sebanyak 30 peratus daripada jumlah bayaran sebenar,” katanya.

Shamsuddin berkata, produktiviti dengan tempoh cuti yang dicadangkan sudah tentu memberi impak namun pihaknya akur dengan keperluan tersebut.

“Di Malaysia, kelahiran setiap tahun kira-kira setengah juta bayi dan daripada jumlah itu, jika kita katakan pekerja wanita kira-kira 55 peratus, jadi ada 270,000 pekerja wanita yang akan bersalin di sektor swasta.

"Suaminya akan ada 270,000, kali dengan tiga hari. Impak kehilangan waktu bekerja amat besar,” katanya.

Shamsuddin menjelaskan, pelaksanaan cadangan tersebut akan dilakukan secara mandatori menerusi pindaan terhadap Akta Pekerja 1955.

“Secara dasar kita ingin menetapkan pemberian cuti ini dihadkan kepada lima orang anak sahaja walaupun seseorang pekerja itu mempunyai lebih daripada satu isteri,” katanya.