'Jangan undi kerana marah kerajaan' - Dr Mahathir

Dr Mahathir bersama pimpinan-pimpinan PH yang lain dan penyokong-penyokong PH pada Program Ceramah Pakatan Harapan PRK Tanjung Piai di Tapak Terminal Bas Kukup Laut malam tadi. - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
Dr Mahathir bersama pimpinan-pimpinan PH yang lain dan penyokong-penyokong PH pada Program Ceramah Pakatan Harapan PRK Tanjung Piai di Tapak Terminal Bas Kukup Laut malam tadi. - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

PONTIAN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pengundi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai supaya tidak mengundi kerana marah kepada kerajaan sedia ada.

Sebaliknya, Perdana Menteri itu meminta mereka mengundi kepada parti yang akan membawa kebaikan kepada diri mereka.

Menurutnya, rakyat akan berasa rugi sekiranya mereka mengundi kepada parti dan calon yang tidak boleh berkhidmat kepada mereka.

"Pada 16 November ini, saya ingatkan anda jangan undi kerana marah (kerajaan)... Saya tidak tahu marah sebab apa... Kalau marah saya, marahlah sekarang.

"Kita hendak undi untuk kebaikan diri kita... Kalau kita undi orang tidak boleh berkhidmat kepada kita...kita rugi.

"Kita undi dia, dia dapat duit, kita dapat apa? Jangan silap pangkah dan mengundi orang tidak boleh berkhidmat kepada kita," katanya pada program Ceramah Perdana PH sempena PRK Parlimen Tanjung Piai di tapak pasar malam Kukup Laut di sini malam ini.

Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan calon PH, Karmaine Sardini.

Dr Mahathir berkata, rakyat Parlimen Tanjung Piai turut diingatkan tidak menembak kaki sendiri hanya kerana menolak calon pilihan parti kerajaan dek rasa marah.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu, saya fikir dalam PRK kali ini, pilihan yang ada adalah memilih calon PH, Karmaine Sardini kerana dia adalah wakil dipilih parti...dia diberi sokongan parti-parti dalam PH termasuk Parti Warisan Rakyat Sabah (Warisan)," katanya.

Beliau juga berharap lebih ramai pengundi yang berada di luar kawasan Parlimen Tanjung Piai untuk pulang ke kampung demi menunaikan tanggungjawab mengundi PRK Tanjung Piai.

"Saya harap pengundi keluar beramai ramai... yang duduk luar baliklah.

"Ramai ada di Johor, Singapura, Kuala Lumpur dan tempat lain... saya harap mereka balik undi demi kebaikan (Parlimen) Tanjung Piai," katanya.