Perkeso tampil bantu Ahmad Taufik

Mahfuz Omar menyampaikan sumbangan tongkat kepada Ahmad Taufiq.
Mahfuz Omar menyampaikan sumbangan tongkat kepada Ahmad Taufiq.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tampil membantu kakitangan Ibu Pejabat Pas yang cedera akibat terjatuh ketika mengambil wuduk di Masjid Kampung Baru dalam kejadian 1 November lalu.

Perkeso menerusi satu kenyataan memaklumkan, Ahmad Taufik Ramli, 51, yang ketika itu mahu menunaikan solat Jumaat mengalami kecederaan patah tulang paha akibat insiden berlaku.

Menurut kenyataan itu, sebaik Ahmad Taufik dimasukkan ke hospital, pihak itu telah membuat semakan segera sama ada penama layak menerima faedah di bawah mana-mana skim perlindungan Perkeso.

Mahfuz (tengah) bertanya sesuatu ketika menziarahi Ahmad Taufik di Hospital Kuala Lumpur, semalam.
Mahfuz (tengah) bertanya sesuatu ketika menziarahi Ahmad Taufik di Hospital Kuala Lumpur, semalam.

“Hasil semakan oleh Perkeso mendapati kemalangan tersebut adalah di bawah takrifan ‘bencana kerja’ kerana berlaku sewaktu masa rehat yang dibenarkan.

“Sehubungan itu, Ahmad Taufik didapati layak menerima faedah disediakan di bawah Skim Bencana Pekerjaan,” katanya wakil Skuad Perkeso Prihatin, Ismail Abi Hashim turut menziarahi Ahmad Taufik di Hospital Kuala Lumpur, semalam

Menurut kenyataan itu Ahmad Taufik akan menerima Faedah Hilang Upaya Sementara bagi tempoh cuti sakit yang disahkan oleh doktor akibat kemalangan dan selepas beliau dirujuk bagi taksiran hilang upaya.

Ahmad Taufik dilapor akan menjalani pembedahan pemasangan besi pada paha kanannya esok.

Artikel Berkaitan:

Perkeso turut memaklumkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar telah menyampaikan dokumen pengesahan kelulusan pembayaran bagi kos rawatan dan pembedahan serta tongkat Ahmad Taufiq.

Dalam pada itu, Ahmad Taufik menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas tindakan proaktif Perkeso kerana segera menguruskan faedah yang layak diterima meskipun beliau belum mengemukakan tuntutan.