'Batal Azmin rasmi Kongres AMK perlihat PKR kini dilanda krisis'

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menyifatkan pembatalan jemputan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai perasmi Kongres Nasional AMK bertentangan dengan semangat kongres serta konvensyen dan tradisi organisasi.

Malah mereka turut menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung isu pembatalan jemputan itu hanya akan mencerminkan bahawa PKR kini sedang dilanda krisis kepimpinan.

“Kami berpendirian bahawa sikap dan tindakan membatalkan jemputan tersebut merupakan suatu langkah yang sama sekali bertentangan dengan semangat kongres serta konvensyen dan tradisi organisasi.

“Justeru itu, tindakan pembatalan dan kenyataan Setiausaha Agung tersebut juga akan memberi mesej dan teladan yang salah kepada anggota khususnya generasi baharu dalam PKR.

“Melainkan, jika Setiausaha Agung mahu perpecahan dan keberantakan dalam parti ini terus berlaku,” kata kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pusat AMK yang diketuai Timbalan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Hilman Idham hari ini.

Kata kenyataan bersama itu lagi, Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK dipilih oleh anggota AMK dalam Pemilihan 2018 ingin menegaskan bahawa Kongres Nasional adalah medan untuk menggilap semula muafakat dan kesatuan anggota dalam perjuangan Keadilan.

“Maka, kami menyeru supaya kepimpinan parti mengambil langkah yang tegas untuk mengembalikan PKR di atas landasannya, menggembleng muafakat dan kesatuan anggota serta mempertahankan konvensyen dan tradisi organisasi.

“Kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semalam berhubung isu pembatalan jemputan kepada Timbalan Presiden Keadilan (PKR) YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebagai perasmi Kongres Nasional AMK hanya mencerminkan betapa PKR sedang dilanda krisis kepimpinan sehingga menyebabkan parti berada dalam keadaan yang berantakan,” katanya.

Artikel Berkaitan: