Tak susah pun mohon permit kempen rumah ke rumah, kata Karmaine

Calon PH, Karmaine Sardini (dua dari kanan) sempat menyantuni bekas tentera, Rahman Hassan (dua dari kiri) yang kini terlantar sakit akibat keuzuran di rumahnya di Taman Utama, Pekan Nanas, Pontian hari ini. FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Calon PH, Karmaine Sardini (dua dari kanan) sempat menyantuni bekas tentera, Rahman Hassan (dua dari kiri) yang kini terlantar sakit akibat keuzuran di rumahnya di Taman Utama, Pekan Nanas, Pontian hari ini. FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini menyifatkan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggesa calon-calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai mendapatkan permit kempen rumah ke rumah daripada polis adalah satu peraturan adil.

Beliau berkata, pihaknya tiada masalah untuk mematuhinya dan menganggap peraturan itu masih munasabah.

Menurutnya, semua calon bertanding juga tidak perlu merungut mengenai arahan terbaharu SPR itu kerana proses permohonannya sangat mudah.

"Saya rasa peraturan itu (arahan SPR) adil, masih munasabah dan tiada masalah untuk diikuti.

"Pada saya, peraturan yang diwujudkan kita kena ikut, tidak susah pun.

"Proses dapatkan kelulusan (permit kempen) pun tidak susah...mereka cuma mahu pantau pergerakan calon, cuma kita rancang awal dan hantar (permohonan) awal pagi," katanya kepada media sewaktu mengadakan ziarah kasih terhadap bekas tentera, Rahman Hassan, 68, yang terlantar sakit di Taman Utama, Pekan Nanas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun yang mengarahkan semua parti dan calon bertanding dalam PRK Parlimen Tanjung Piai perlu mendapat permit daripada polis untuk kempen dibuat dari rumah ke rumah.

Soal beliau, di bawah akta mana yang digunakan oleh Azhar Azizan bagi mengklasifikasikan aktiviti itu sebagai suatu bentuk berkempen.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Karmaine turut bersyukur dengan kesudian DAP melantik Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong untuk membantunya menjaga kebajikan masyarakat Cina Parlimen Tanjung Piai sekiranya memenangi PRK kali ini.

Menurutnya, beliau sentiasa mengalu-alukan kehadiran mana-mana pemimpin PH untuk membantunya apatah lagi soalan pemimpin bertaraf timbalan menteri.

"Lagi ramai hendak bantu saya lagi baik...lantik timbalan menteri pertahanan bantu saya di Tanjung Piai kalau saya menang lagi baik untuk bantu masyarakat Cina," katanya.

Karmaine turut berjanji akan membuka dua pusat khidmat Ahli Parlimen di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas dan Kukup sekiranya menang kelak.

"Pembukaan dua pusat khidmat itu bagi memudahkan penduduk menyuarakan masalah terus kepada saya," katanya.