Parti pembangkang UK jadi sasaran serangan siber

Serangan siber itu telah menjejaskan beberapa aktiviti kempen Parti Buruh.
A
A

LONDON - Parti pembangkang Britain, Parti Buruh hari ini mendakwa platform digital mereka menjadi sasaran serangan siber dalam skala besar beberapa minggu selepas Pilihan Raya Umum di negara itu.

Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn itu bagaimanapun percaya tiada pelanggaran data berlaku.

"Kami berdepan tindakan penggodaman canggih, namun kami telah mengambil tindakan segera untuk menghalang percubaan itu menggunakan sistem keselamatan yang mantap.

"Keutuhan kesemua sistem kami masih kekal seperti sebelum ini walaupun serangan itu telah menjejaskan beberapa aktiviti kempen kami," kata jurucakapnya.

Difahamkan, penggodam terbabit cuba untuk menjejaskan beberapa laman web Parti Buruh dengan perisian berniat jahat.

Susulan insiden itu, Parti Buruh telah melaporkan kejadian tersebut kepada Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan.

Sebelum ini, perkhidmatan keselamatan UK memberi amaran Rusia dan negara lain mungkin akan menggunakan serangan siber atau mesej untuk memecah-belahkan politik di media sosial untuk mengganggu pemilihan pada 12 Disember depan itu.

Britain akan mengadakan pilihan raya awal pada bulan depan selepas Perdana Menteri, Boris Johnson mencadangkan langkah itu bagi memecahkan kebuntuan Brexit di Parlimen yang sudah berlarutan selama tiga tahun sejak referendum untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada 2016. - Agensi