X

Kindly register in order to view this article
!

Pas nafi ahli tak sokong calon MCA di Tanjung Piai

Abdul Hadi
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas menafikan dakwaan bahawa ahlinya tidak menyokong calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November nanti.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun keahlian Pas di kawasan itu tidak besar namun sokongan penuh akan diberikan kepada calon MCA dari BN itu.

"Dakwaan bahawa Pas tak sokong calon BN tak betul. Saya pergi melawat Rabu lalu dan turut melancarkan jentera pilihan raya yang datang dari seluruh negara seperti dari kawasan Johor dan kawasan paling dekat dengan Tanjung Piai dengan jumlah yang besar.

"Keahlian kita di situ tak besar tapi kita harapkan lebih 2,000 pengundi akan mengundi calon dari MCA," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Multaqa Ulama Nusantara, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Jangan izin orang tebuk bahtera kita' - Abdul Hadi

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon PH, Karmaine Sardini; Calon BN (Datuk Seri Wee Jeck Seng), Gerakan (Wendy Subramanian), Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) (Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz) serta dua calon Bebas (Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar).

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42 daripada Pakatan Harapan (PH) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan pemansuhan Sosma, Abdul Hadi menegaskan bahawa Pas mahukan undang-undang yang lebih tegas berbanding Sosma.

"Kita mahukan undang-undang yang lebih baik daripada Sosma.

"Negara memerlukan undang-undang keselamatan yang lebih tegas berbanding Sosma," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus