Kerajaan Perak pandang berat isu pengawal keselamatan

Cadang tubuh jawatankuasa konsultasi bersama selesai isu antara pekerja, majikan

Sivanesan (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak bagi menyelesaikan isu pengawal keselamatan di HRPB.
Sivanesan (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak bagi menyelesaikan isu pengawal keselamatan di HRPB.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak memandang serius isu pengawal keselamatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang meninggalkan tugas mereka kerana masalah yang dihadapi dengan majikan.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, ketiadaan pengawal pada 8 November lalu mengundang bahaya kepada warga HRPB.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, hanya 142 daripada 192 pengawal keselamatan yang bertugas melibatkan syif pagi dan petang

"Kita mengutamakan keselamatan pesakit, kemudian menjaga harta kerajaan. Kalau ada sesiapa nak sabotaj, curi bayi dan sebagainya. Keselamatan paling penting.

"Pekerja keselamatan tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mereka walaupun terdapat masalah dengan majikan. Tindakan itu boleh dijadikan alasan kukuh untuk mereka dibuang kerja," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pelbagai pihak berhubung perkara berkenaan di Kompleks Rawatan Harian, HRPB, di sini hari ini.

Sivanesan berkata, pihaknya turut mengambil maklum mengenai masalah yang dihadapi pengawal keselamatan berkaitan tunggakan gaji dan cuti.

Menurutnya, pada 4 November lalu, pihaknya menerima memorandum daripada pekerja syarikat kawalan keselamatan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau berkata, kes tunggakan gaji sebulan dan berkaitan cuti berlaku ketika berada di syarikat lama manakala syarikat baharu tidak mempunyai masalah setakat ini.

Artikel Berkaitan:

"Kes mereka sudah didaftarkan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan akan dibicarakan pada 26 November ini.

"Saya sudah menasihat supaya tubuhkan jawatankuasa konsultasi bersama untuk berbincang jika ada masalah antara pekerja dan majikan," katanya.

Sivanesan berkata, dalam isu tersebut pihak hospital tidak boleh campur tangan kerana perjanjian dibuat antara pekerja dan syarikat berkenaan.

Katanya, pihak hospital hanya boleh meminta bantuan atau aduan kepada Kementerian Kesihatan kerana perjanjian syarikat dibuat terus dengan kementerian.