Batik Girl terima pelbagai anugerah

Batik Girl mengisahkan pengembaraan ajaib seorang kanak-kanak di dalam dunia lukisan batik ketika menghadapi pergelutan akibat sebuah tragedi yang baru menimpanya.
A
A

SHAH ALAM - Sebuah filem pendek animasi 2D iaitu Batik Girl yang menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa dilancarkan di saluran YouTube rasmi 'The R&D Studio' semalam.

Pengarah dan rakan kongsi The R&D Studio, Irwan Junaidy berkata, pihaknya mengeluarkan treler Batik Girl awal tahun ini dan berjaya mendapat perhatian ramai di media sosial.

Beliau berkata, susulan itu filem pendek animasi berdurasi sembilan minit berkenaan dilancarkan pihaknya menerusi YouTube.

Menurutnya, filem pendek tersebut mengisahkan pengembaraan ajaib seorang kanak-kanak dalam dunia lukisan batik ketika menghadapi pergelutan akibat satu tragedi yang menimpanya.

“Melalui Batik Girl, kami ingin menceritakan sebuah kisah di Malaysia secara khususnya berlandaskan batik.

"Emosi utama yang diketengahkan di dalam filem ini adalah hubungan erat yang dapat dilihat antara seorang nenek dan cucunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hubungan erat antara nenek dan cucu yang dipaparkan dalam filem pendek animasi Batik Girl
Hubungan erat antara nenek dan cucu yang dipaparkan dalam filem pendek animasi Batik Girl

Menurutnya, Batik Girl adalah usaha bersama beberapa pihak iaitu The R&D Studio, Heidi Shamsuddin selaku penulis cerita, Tudidut Studio untuk proses menganimasikan watak dan Fakulti Muzik Universiti Teknologi Mara untuk komposisi muzik.

Katanya, pada tahun 2017, Batik Girl memenangi Cabaran Pencipta Harta Intelek (IPCC) anjuran MDEC untuk kategori filem pendek dan mendapat bantuan kewangan untuk penghasilan filem mini.

"Filem animasi pendek ini juga mencipta rekod apabila ditayangkan di 26 festival filem di seluruh dunia dan berjaya memenangi beberapa anugerah termasuk anugerah Filem Animasi Pendek terbaik Festival de Largos y Cortos de Santiago di Chile dan anugerah Honorable Mention in Audience Favourite di Florida.

The R&D Studio ketika menerima anugerah pingat emas bagi kategori serantau di Digicon6 Asia ke-20 pada November tahun lalu.
The R&D Studio ketika menerima anugerah pingat emas bagi kategori serantau di Digicon6 Asia ke-20 pada November tahun lalu.

"Ia juga dianugerahkan pingat emas bagi kategori serantau di Digicon6 Asia ke-20 malah Prof Richard William Allen seorang juri di Digicon 6 Asia menggambarkan Batik Girl sebagai sebuah filem pendek animasi fantasi indah yang ditonjolkan melalui reka bentuk karakter dan mainan warna yang harmoni serta imaginasi kreatif," katanya.

The R&D Studio merupakan studio penghasilan kandungan kreatif untuk filem, televisyen dan penerbitan yang ditubuhkan pada tahun 2011 dan telah memenangi pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa.

Baru-baru ini, The R&D Studio menjalankan sebuah projek penggambaran lansung (live action) untuk Cartoon Network Asia dan sebuah lagi projek animasi untukTokyo Broadcasting System (TBS).

Antara projek lain yang masih dalam proses ialah 'Junglemajig', sebuah siri televisyen yang mendapat pembiayaan daripada geran MDEC Digital Content Fund.

Studio ini antara lain menghasilkan sebuah siri televisyen untuk syarikat The Walt Disney Company (Southeast Asia) Pte Ltd yang berjudul “Wizards of Warna Walk” yang kini disiarkan di saluran Disney Channel Asia.

Irwan (kanan) bersama salah seorang juri Digicon 6 Asia, Professor  Richard William Allen yang memuji BatikGirl sebagai sebuah filem pendek animasi fantasi indah yang ditonjolkan melalui reka bentuk karakter dan mainan warna yang harmoni serta imaginasi yang kreatif.
Irwan (kanan) bersama salah seorang juri Digicon 6 Asia, Professor Richard William Allen yang memuji BatikGirl sebagai sebuah filem pendek animasi fantasi indah yang ditonjolkan melalui reka bentuk karakter dan mainan warna yang harmoni serta imaginasi yang kreatif.