'Lantik Chin Tong boleh, tapi bincang dengan Karmaine dulu'

Anwar hadir pada Program Hi-Tea dan Sembang Santai di Pusat Perniagaan Kota Emas hari ini. - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
Anwar hadir pada Program Hi-Tea dan Sembang Santai di Pusat Perniagaan Kota Emas hari ini. - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

PONTIAN - PKR mengalu-alukan cadangan melantik Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sebagai wakil masyarakat Cina Parlimen Tanjung Piai sekiranya calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 November ini.

Bagaimanapun Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berbincang perkara itu terlebih dahulu dengan Karmaine yang juga merupakan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai.

Menurutnya, beliau mengambil contoh dirinya yang mempunyai pegawai khas terdiri masyarakat Cina, Melayu dan India dari parti sama.

"Perkara itu saya bincang dengan Karmaine, Insya-ALLAH boleh sahaja tiada masalah... Tetapi saya sendiri (ambil contoh) sudah ada pegawai khas dari kaum Cina, Melayu dan India.

"Yang penting sekarang PH kena bersatu hati...sekarang masa bekerja dan menangkan PH, " katanya kepada media pada program Hi Tea dan Sembang Santai di Pusat Perniagaan Kota Emas di sini petang tadi.

Kelmarin, sewaktu menyampaikan ceramah kelompok di Kukup, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng percaya masalah komunikasi antara penduduk Tanjung Piai berketurunan Cina dengan Karmaine bukan satu masalah sekiranya gabungan politik itu berjaya mempertahankan kerusi Parlimen tersebut 16 November ini.

Menurutnya, Chin Tong akan membantu Karmaine berhubung perkara itu.

“Calon PH orang Melayu dan beliau berdepan pesaing berketurunan Cina (Wee Jeck Seng dari MCA) dan sesetengah penduduk berasa mungkin wujud masalah komunikasi jika mereka mahu meminta bantuan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi jika ada apa-apa (keperluan), anda boleh menghubungi Chin Tong dan beliau boleh membantu," katanya.

Dalam perkembangan lain Anwar yakin perubahan ketara sokongan pengundi Cina terhadap Karmaine sejak beberapa hari lalu memastikan peluang PH mengekalkan kerusi Parlimen Tanjung Piai semakin cerah.

Menurutnya, meskipun media meramalkan berlaku persaingan sengit, laporan jentera PH menunjukkan ramai pengundi Cina berpuas hati perubahan positif di kawasan mereka begitu ketara.

"Kalau lihat kelayakan Karmaine, pengalaman dia sebagai pemimpin tempatan (memastikan) dia mampu dalam soal bantu rakyat.

"Saya datang hendak berikan keyakinan... Saya datang kerana yakin keupayaan Karmaine menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai," katanya.