Mangsa kebakaran di Rembau dapat perhatian MB

Aminuddin (dua dari kanan) menyerahkan bantuan awal kepada mangsa kebakaran Siti Fatimah Bador (tiga dari kiri) ketika menziarahi ahli keluarga mangsa di Kampung Surau Selemak hari ini. - Foto Bernama
Aminuddin (dua dari kanan) menyerahkan bantuan awal kepada mangsa kebakaran Siti Fatimah Bador (tiga dari kiri) ketika menziarahi ahli keluarga mangsa di Kampung Surau Selemak hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

REMBAU - Kesusahan yang dialami lima sekeluarga selepas kediaman mereka musnah dijilat api dalam kebakaran pada Sabtu lepas mendapat perhatian Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Terkejut dan terharu dengan kunjungan itu, mangsa, Nurazmi Zainal Abidin, 35, berkata, kebakaran di kediamannya di Kampung Selemak di sini menyebabkan beliau dan ahli keluarga termasuk ibu, Siti Patimah Bador, 61, masih bersedih selain tinggal sehelai sepinggang.

“Ibu masih berduka selepas melihat rumah pusaka milik keluarga musnah dijilat api. Jadi saya berharap kerajaan negeri dapat membantu membina semula kediaman baharu di tapak asal,” katanya kepada Bernama selepas Aminuddin meninjau lokasi kejadian itu selama satu jam di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Mohamad Hapil.

Nurazmi berkata, disebabkan kediaman musnah, beliau dan ahli keluarga ini terpaksa menumpang di rumah ibu saudaranya.

Sementara itu Mohamad berkata, pihaknya telah menyalurkan bantuan berupa kit makanan dan Bantuan Segera Bencana Alam sebanyak RM200 secara sekali bayar kepada keluarga mangsa.

"Bantuan Pemulihan Bencana akan dipertimbangkan untuk disalurkan kepada keluarga mangsa selepas siasatan dijalankan oleh pihak JKM," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: