Penunjuk perasaan di Hong Kong cedera ditembak polis

Seorang penunjuk perasaan prodemokrasi Hong Kong cedera akibat ditembak di bahagian dada oleh seorang anggota polis ketika protes di daerah Sai Wan Ho hari ini. - Foto: AFP
Seorang penunjuk perasaan prodemokrasi Hong Kong cedera akibat ditembak di bahagian dada oleh seorang anggota polis ketika protes di daerah Sai Wan Ho hari ini. - Foto: AFP
A
A
A

HONG KONG - Sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan di Hong Kong dilaporkan cedera terkena tembakan anggota polis susulan protes awal pagi ini yang tercetus akibat kematian seorang pelajar ketika kekecohan baru-baru ini.

Insiden yang dirakam secara langsung menerusi Facebook menunjukkan seorang anggota polis mengeluarkan senjata ketika cuba menahan seorang penunjuk perasaan bertopeng di sebuah persimpangan daerah Sai Wan Ho.

Seorang lagi penunjuk perasan bertopeng yang menghampiri anggota polis berkenaan kemudian ditembak di bahagian dada lalu rebah.

Dilaporkan anggota polis terbabit melepaskan beberapa lagi tembakan ketika pergelutan dan seorang lagi penunjuk perasaan bertopeng dilihat rebah namun rakaman tidak menunjukkan dengan jelas sama ada dia terkena tembakan.

Polis kemudian bertindak menahan kedua-dua penunjuk perasaan yang rebah itu.

Darah kelihatan berhampiran individu pertama namun dia kemudian dirakam berada dalam keadaan sedar malah cuba melarikan diri, sementara individu kedua yang juga berada dalam keadaan sedar menjerit namanya kepada wartawan ketika digari.

Sumber polis mengesahkan kepada AFP bahawa tembakan peluru hidup dilepaskan kepada lebih daripada seorang penunjuk perasaan di daerah Sai Wan Ho dan kenyataan akan dikeluarkan.

Pihak berkuasa hospital pula memaklumkan tiga individu dimasukkan ke hospital susulan insiden terbabit, seorang daripada mereka mengalami luka tembakan.

Artikel Berkaitan:

Susulan insiden tersebut, sekumpulan penduduk tempatan berkumpul dan melemparkan cemuhan kepada anggota polis yang kemudian bertindak balas dengan penyembur lada dan melakukan beberapa tangkapan.

Selama lebih lima bulan Hong Kong dibelenggu protes prodemokrasi yang bertukar ganas dan ketegangan semakin memuncak susulan kematian Alex Chow, seorang pelajar berusia 22 tahun yang terjatuh di sebuah tempat letak kereta ketika pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan minggu lalu. - AFP