Karmaine setuju klip video Peja luar konteks

Karmaine (tengah) bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan Normah (kiri) sewaktu mengadakan kunjungan ziarah kasih ke rumah ibu kepada Allahyarham Datuk Md Farid Md Rafik di Serkat hari ini.
Karmaine (tengah) bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan Normah (kiri) sewaktu mengadakan kunjungan ziarah kasih ke rumah ibu kepada Allahyarham Datuk Md Farid Md Rafik di Serkat hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini enggan mengulas mengenai penularan klip video Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengeluh terpaksa 'berseorangan' berhadapan dengan 'puak-puak DAP' dalam media sosial sejak kelmarin.

"Pasal klip video Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) cakap pasal DAP, biar dia jawab sendiri...saya tidak jelas," katanya.

Namun begitu beliau mengakui ada bersama Ahmad Faizal atau Peja sewaktu video itu dirakam tetapi menegaskan tidak mendengar kenyataan Peja mengaitkan dengan DAP secara jelas.

Selain itu, Karmaine turut bersetuju dengan pandangan Peja bahawa kandungan klip video tular itu sebenarnya diambil luar konteks.

"Kisah sebenar berlaku berkaitan Peja sebenarnya adalah dia merayu mereka (penduduk) sokong PH tetapi mereka enggan dukung kerana mendakwa PH bagi janji palsu.

"Peja menjelaskan dalam tempoh setahun setengah PH mentadbir, tidak wajar nilai PH sebegitu.

"Jadi kandungan penularan video Peja sempena PRK adalah di luar konteks kerana keseluruhan dia hanya menjelaskan sudah menunaikan tanggungjawab sebagai MB Perak dengan baik sekalipun berseorangan mewakili Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan dikelilingi parti-parti PH," katanya.

Karmaine berkata kepada media ketika mengadakan kunjungan ziarah kasih ke rumah Normah Mohamad, ibu bekas penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik di Serkat, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Karmaine turut menyambut baik kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu melantik Pengerusi DAP, Johor Liew Chin Tong membantu beliau memulihkan komunikasi dengan masyarakat Cina Parlimen Tanjung Piai sekiranya mempertahankan kerusi itu kelak.

Menurutnya, sememangnya PH melantik ketua masyarakat dari pelbagai parti dalam pakatan itu bagi menangani permasalahan masyarakat berbilang kaum di Parlimen Tanjung Piai.

"Kalau di kawasan ramai masyarakat Cina dan India, kita akan lantik wakil dari DAP dan PKR (Parti Keadilan Rakyat)...itu perkara biasa," katanya.

Semalam, sewaktu menyampaikan ceramah kelompok di Kukup, Guan Eng percaya masalah komunikasi antara penduduk Tanjung Piai berketurunan Cina dengan Karmaine bukan satu masalah sekiranya gabungan politik itu berjaya mempertahankan kerusi Parlimen tersebut 16 November ini.

Menurutnya, Chin Tong akan membantu Karmaine berhubung perkara itu.