X

Kindly register in order to view this article
!

Kitab dan risalah ajaran sesat dirampas

Penguatkuasa JHEAINS semasa melakukan serbuan di sebuah rumah di Jalan Bunga Mawar, Kampung Sri Repah, Tampin Jumaat lalu. Salah seorang tertuduh yang ditahan dalam serbuan membabitkan ajaran sesat di Tampin.
A
A

TAMPIN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) merampas sebanyak 37 risalah dan kitab mengenai ajaran sesat Milah Abraham dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Bunga Mawar, Kampung Sri Repah, Tampin Jumaat lalu.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata, empat lelaki termasuk seorang pengajar agama yang tidak bertauliah turut ditahan dalam serbuan pada jam 10 malam itu.

"Ketika serbuan seorang lelaki didapati sedang berbincang mengenai tafsiran ayat al-Quran dan didengari oleh beberapa individu.

"Kesemua dokumen dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran Millah Abraham yang telah difatwakan haram di Negeri Sembilan dirampas," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, kesemua mereka sudah didakwa di Mahkamah Syariah Tampin semalam atas pertuduhan mengajar tanpa tauliah dan bersubahat.

Keempat-empat tertuduh iaitu Ahmad Fuat Mohd Hashim, 53; Muhammad Farid Abdullah, 32; Mohd Ferdaus Abdullah, 39; dan Abdullah Inat, 62, mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Antara buku dan risalah yang berkaitan ajaran sesat dirampas.
Antara buku dan risalah yang berkaitan ajaran sesat dirampas.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Fuat didakwa mengajar agama tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan di sebuah rumah di Jalan Bunga Mawar, Kampung Sri Repah, Tampin, jam 10 malam kelmarin.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2004) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM3,000 jika sabit kesalahan.

Hakim Mohamad Yusri Kasim menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,900 terhadap tertuduh.

Tiga lagi tertuduh iaitu Muhammad Farid, Mohd Ferdaus dan Abdullah didakwa bersubahat melakukan kesalahan bersama Ahmad Fuat di lokasi dan masa yang sama.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 35 enakmen sama yang memperuntukkan hukuman seperti mana kesalahan Seksyen 53 enakmen berkenaan dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim menjatuhkan hukuman denda RM2,800 bagi setiap tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie Kanan Rohaizad Redzuan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!