Dua sekolah tahfiz 'degil' dikenakan tindakan: Amirudin

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Dua sekolah tahfiz yang dikesan masih berdegil dan enggan melakukan pendaftaran di bawah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) telah dikenakan tindakan oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, salah satu daripada sekolah tahfiz tersebut telah diarahkan tutup manakala satu lagi premis diberi arahan untuk mematuhi syarat dan prosedur tertentu yang ditetapkan sebelum dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata, buat masa ini, Selangor mempunyai hampir 300 pusat tahfiz swasta yang beroperasi dan sehingga kini 90 peratus daripadanya telah melakukan pendaftaran.

"Kita dah lancarkan operasi untuk pusat-pusat tahfiz ini mendaftar sejak 2017 lagi dan setakat ini, kita dapat laporan hanya dua tahfiz yang tidak mahu bekerjasama (untuk mendaftar) di mana satu telah diarahkan tutup dan satu lagi masih menunggu proses tertentu untuk didaftarkan.

"Pemilik pusat tahfiz perlu mengemaskini pelan pembangunan selain mematuhi prosedur keselamatan ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hari Perancang Bandar Sedunia (HPBS) peringkat kebangsaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas jumlah pusat tahfiz di Selangor yang masih belum mendaftar bersama kerajaan negeri sehingga kini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga akan mula melihat kandungan silibus pengajian di sekolah tahfiz seluruh Selangor selepas ini bagi memastikan ia seimbang dengan sekolah-sekolah lain.

"Mereka harus diberi pendedahan aspek lain dalam kehidupan dan salah satu inisiatif awal adalah menerusi pelaksanaan fast track SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang mula dibuat beberapa tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kita laksanakan program ini melalui Bahagian Pendidikan Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) dan pelajar yang tamat pengajian tahfiz boleh ambil SPM menerusi program fast track ini yang dilaksanakan hasil kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Selangor.

"Malah kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.0 juta untuk pelaksanaan program ini," katanya.