Mahkamah putuskan lokasi suci Ayodhya milik penganut Hindu

Media berhimpun di kawasan Mahkamah Agung di New Delhi bagi membuat liputan keputusan berhubung isu kontroversi membabitkan lokasi suci di Ayodhya hari ini. - Foto AFP
Media berhimpun di kawasan Mahkamah Agung di New Delhi bagi membuat liputan keputusan berhubung isu kontroversi membabitkan lokasi suci di Ayodhya hari ini. - Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Mahkamah Agung India hari ini memberikan 'kemenangan besar' kepada parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi apabila menyerahkan lokasi suci di bandar Ayodhya, utara India kepada penganut Hindu.

Mahkamah memutuskan lokasi di mana sebuah masjid berusia 460 tahun dimusnahkan sekumpulan perusuh Hindu pada tahun 1992 itu harus diserahkan kepada satu badan yang akan memantau pembinaan sebuah kuil.

Sementara itu, sebidang tanah berasingan di Ayodhya akan diberikan kepada penganut Muslim untuk pembinaan sebuah masjid baharu.

Keputusan itu dilihat memihak kepada parti BJP yang sekian lama berkempen untuk mendirikan sebuah kuil di Ayodhya yang didakwa tempat kelahiran Dewa Ram kira-kira 7,000 tahun lalu.

BJP berkata, pada kurun ke-16, maharaja pertama dinasti Islam Mughal membina masjid di atas tempat kelahiran dewa itu dan berikutan peningkatan nasionalisme Hindu pada sekitar tahun 1980-an, tekanan memuncak agar masjid itu dirobohkan dan digantikan dengan sebuah kuil.

Insiden perobohan masjid pada tahun 1992 itu telah mengakibatkan rusuhan agama yang mengorbankan kira-kira 2,000 nyawa kebanyakannya Muslim.

Terdahulu, kawalan keselamatan dipertingkatkan di bandar Ayodhya dan kawasan sekitar bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk menjelang keputusan mahkamah berhubung isu kontroversi itu.

Dalam pada itu, menerusi ciapan di laman Twitter, Modi berkata, keputusan tersebut tidak harus dilihat sebagai kemenangan atau kekalahan untuk sesiapa. - AFP

Artikel Berkaitan: