X

Kindly register in order to view this article
!

Tular video kononnya curi motor, tapi rupa-rupanya...

Antara paparan video yang tular di media sosial.
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki terpaksa membuat laporan polis bagi menafikan dirinya terlibat dalam satu kes curi motosikal di Hospital Sungai Siput sepertimana video tular sejak Rabu lalu.

Rakaman aksi lelaki berusia awal 30-an itu berlaku ketika dia mengambil motosikal milik abangnya yang rosak di kawasan parkir hospital terbabit.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada Selasa lalu dan video berdurasi dua minit tujuh saat itu tular di media sosial pada keesokannya memaklumkan kononnya mangsa terlibat dalam kes kecurian motosikal.

"Oleh kerana kejadian ini tular, lelaki terbabit tampil membuat laporan menafikan kes itu kerana bimbang orang ramai akan salah sangka terhadapnya.

"Pada hari kejadian, dia hanya membantu membawa keluar motosikal milik abangnya yang rosak," katanya.

Video tular kononnya mangsa terlibat dalam kes kecurian motosikal.
Video tular kononnya mangsa terlibat dalam kes kecurian motosikal.

Beliau berkata, semakan nombor pendaftaran motosikal yang dibuat juga mengesahkan ia didaftarkan atas nama abang mangsa.

"Dalam video itu dapat lihat mangsa beberapa kali cuba menghidupkan motosikal itu namun tidak berjaya," katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebar atau berkongsi maklumat mahupun sebarang video yang belum ditentusahkan.

"Tindakan dan tuduhan seperti ini boleh menimbulkan kegusaran kepada orang awam," katanya.

Video berkenaan memaparkan kelibat dua lelaki memasuki kawasan parkir motosikal dan menghampiri sebuah motosikal yang diletakkan di sudut parkir.

Seorang lelaki kemudiannya menolak keluar motosikal berkenaan dan cuba menghidupkan enjin tetapi gagal.

Seorang lagi lelaki pula dengan menggunakan motosikal lain menunda keluar motosikal terbabit.