Lelaki lemas di Pantai Air Papan

Gambar hiasan
A
A

MERSING - Seorang lelaki maut dipercayai akibat lemas di pesisir Pantai Air Papan di sini hari ini.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mersing dalam satu kenyataan di sini memaklumkan, mangsa, Mohd Rizal Payen dari Felda Pasir Raja, Kulai, dipercayai lemas kira-kira jam 1.30 petang di 50 meter dari gigi air di pesisir pantai berkenaan.

"Seorang saksi yang berada di tempat kejadian memaklumkan insiden berkenaan kepada anggota yang bertugas di menara penyelamat.

"Anggota bertugas bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa dan bertindak membawa mangsa naik ke darat namun (mangsa) dilaporkan tidak sedarkan diri," menurut kenyataan itu.

Bantuan pernafasan (CPR) telah diberikan kepada mangsa ketika dalam perjalanan ke hospital sebelum diberikan rawatan kecemasan ketika di hospital namun mangsa disahkan meninggal dunia.

“Cuaca ketika kejadian dilaporkan cerah dan keadaan air tenang," katanya. - Bernama