Jenazah Mas Omar selamat dikebumikan

A
A

JENAZAH bekas Pegawai Perhubungan Awam dan pengurus artis, Mas Omar, 64, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan PJS 4, Taman Medan kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Allahyarham Mas Omar atau nama sebenarnya Mohammad Omar sebelum itu dibawa ke Surau Medan Cahaya untuk dimandi, dikafankan dan solat jenazah.

Dalam laporan media sebelum ini, Allahyarham meninggal dunia di rumahnya di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, akibat sesak nafas jam 2.50 pagi tadi.

Isterinya, Sawiah Ali berkata, Mas Omar tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum diserang sesak nafas secara tiba-tiba dan menghembuskan nafas terakhir.

Allahyarham berada dalam keadaan uzur kerana pernah menghidap angin ahmar sebelum ini.

Gambar kenangan Allahyarham bersama isterinya.
Gambar kenangan Allahyarham bersama isterinya.

Ketika hayatnya, Allahyarham pernah bertugas di syarikat rakaman BMG, EMI dan SRC serta turut menguruskan ramai artis popular antaranya Datuk Nassier Wahab, Ramlah Ram, Liza Abdullah, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Datuk Shake, Datuk M Daud Kilau dan Datuk Jefrydin.

Mas Omar juga pernah menghasilkan album Disko Dangdut Barat (DBB Group) bersama R Jaafar pada 1984 serta Album Nasyid Pop, Seribu Bintang Berhari Raya dan Senandung Mesra Aidilfitr sebelum beralih kepada karier menguruskan artis.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sawiah Ali yang juga bekas Pegawai Perhubungan Awam dan pengurus artis serta empat anak iaitu Mas Sazly, Mas Sazmy, Mas Sazny dan Mas Mona.

Mas Sazly mengikut jejak pasangan ini apabila terbabit secara langsung dalam dunia seni tanah air.

Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa bertemu dengan balu Allahyarham.
Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa bertemu dengan balu Allahyarham.

SUMBER: Harian Metro